Skip to main content

Malaysia

3.15 juta naskah buku dibeli menerusi Baucar Buku MADANI KPM

KUALA LUMPUR, 29 Mei -- Pelbagai buku dan majalah boleh didapati dengan harga serendah RM1 di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.  PBAKL 2026 edisi ke-43 itu berlangsung selama 10 hari bermula hari ini hingga 7 Jun. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Wong berkata Baucar Buku MADANI diperkenalkan selama tiga tahun berturut-turut selepas diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. - Gambar hiasan
Advertisement

TAIPING: Sebanyak 3,152,258 naskhah buku telah dibeli menerusi Baucar Buku MADANI 2026, dengan 1,723,371 murid setakat ini sudah menebus baucar berkenaan, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.

Beliau berkata jumlah itu direkodkan setakat semalam, kira-kira dua bulan selepas pelaksanaan inisiatif berkenaan yang melibatkan murid sekolah menengah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

“Sebanyak 2.21 juta murid layak menerima baucar bernilai RM100 seorang pada tahun ini, dengan KPM menyediakan siling peruntukan RM221 juta,” katanya pada sidang media Malaysia Ultra-Trail By UTMB 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan Baucar Buku MADANI secara dalam talian menerusi pelantar Inisiatif Pembelajaran Pendidikan Digital Malaysia memastikan proses penebusan dan pembelian buku dapat dilakukan dengan lebih telus serta mengurangkan risiko ketirisan.

“Dengan pelaksanaan secara dalam talian, baucar hanya boleh digunakan untuk membeli buku dan tidak lagi boleh ditukar kepada wang tunai seperti yang berlaku sebelum ini. Ini memastikan bantuan kerajaan benar-benar sampai kepada penerima dan digunakan untuk tujuan yang ditetapkan.

“Yang penting, kami mahu pastikan 100 peratus ketelusan dan sifar ketirisan. Baucar ini hanya boleh digunakan secara dalam talian untuk penebusan dan pembelian buku. Jadi, perkara seperti baucar ditukar kepada tunai tidak lagi berlaku,” katanya.

Wong berkata pencapaian berkenaan menunjukkan pelaksanaan secara digital bukan sahaja memudahkan proses penebusan, malah membolehkan kerajaan memastikan manfaat peruntukan disalurkan terus kepada kumpulan sasaran.

Beliau berkata Baucar Buku MADANI diperkenalkan selama tiga tahun berturut-turut selepas diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Pada 2024, baucar diberikan kepada anak-anak sekolah, tahun lepas kepada warga pendidik dan tahun ini kami memberikan kepada anak-anak sekolah menengah dan ke atas sehingga ke universiti, selain angka pembelian buku itu tidak termasuk penerima manfaat di institusi pendidikan tinggi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT),” katanya. 

Dalam perkembangan lain, Wong berkata projek pembinaan semula bangunan daif dan terbakar serta bangunan tambahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Serai, Perak kini memasuki fasa pelaksanaan selepas kontraktor bagi projek berkenaan dilantik.

Beliau berkata projek yang diluluskan pada 2025 di bawah Rolling Plan Kelima, Rancangan Malaysia Ke-12 merangkumi penggantian bilik guru yang terbakar, pembinaan 10 bilik darjah bagi Program Pendidikan Khas Integrasi serta bilik-bilik khas bagi meningkatkan kemudahan dan keselesaan warga sekolah.

“Proses tender telah dilaksanakan Jabatan Kerja Raya manakala Surat Setuju Terima kepada kontraktor dikeluarkan pada 20 Ogos lepas.

“Tarikh milik tapak diberikan kepada pihak kontraktor pada 1 Sept 2026 dan tarikh siap yang dijangkakan ialah 1 Jan 2029, dengan tempoh kontrak selama 122 minggu,” katanya.

Beliau berkata projek berkenaan sebagai perkembangan positif kepada warga SMK Bagan Serai, khususnya selepas bangunan sekolah terbabit mengalami kebakaran beberapa tahun lepas.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement