PUTRAJAYA: Hampir 32 juta fail cukai direkodkan di seluruh Malaysia, namun hanya 7.6 juta daripadanya merupakan pembayar cukai individu aktif, setakat 31 Ogos 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, jumlah besar keseluruhan fail cukai itu susulan pendaftaran automatik Nombor Pengenalan Cukai (TIN) bagi rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas.
Jelasnya, kategori individu tidak aktif turut merangkumi mereka yang telah mempunyai fail cukai tetapi belum bekerja atau belum memperoleh pendapatan yang melayakkan mereka dikenakan cukai.
“Jadi, sebab itu jumlah dalam senarai pembayar cukai kita tinggi, iaitu hampir 32 juta daripada kira-kira 33 juta rakyat Malaysia.
“Ini kerana mereka yang belum layak membayar cukai juga mempunyai fail cukai. Setiap rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas secara automatik mempunyai fail cukai dan nombor pengenalan cukai (TIN).
“Nombor cukai mereka akan menjadi aktif apabila mereka mula bekerja atau memperoleh pendapatan yang selayaknya,” ujarnya dalam satu sidang media sempena Majlis Peluncuran Bulan HASiL 2026, di sini, pada Khamis.
Selain itu, terdapat 620,000 fail cukai aktif melibatkan pembayar syarikat setakat 31 Ogos 2026.
Sehubungan itu, usaha meningkatkan literasi cukai dalam kalangan masyarakat terus menjadi antara fokus LHDN, bertujuan mendekatkan agensi itu dengan rakyat serta memperkukuh kesedaran mengenai tanggungjawab percukaian.
Tegas Abu Tariq, peranan LHDN bukan hanya tertumpu kepada penguatkuasaan pematuhan, sebaliknya turut merangkumi usaha memudah cara pembayar cukai dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.