JOHOR BAHRU: Seorang lelaki tempatan yang mempunyai 27 rekod jenayah dan dadah lampau direman tiga hari bermula hari ini, selepas disyaki mencuri sebuah lori serta merempuh kereta peronda polis di Pasir Gudang, semalam.
Perintah tahanan reman sehingga 3 Okt terhadap suspek berusia 30-an itu dikeluarkan Majistret Tan Chiew King di Mahkamah Johor Bahru hari ini, bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut.
Semalam, Ketua Polis Daerah Seri Alam ACP Mohd Sohaimi Ishak berkata kejadian berlaku pada kira-kira 7.20 pagi, selepas lori hijau berkenaan dilaporkan hilang di kawasan Plentong sebelum dikesan orang awam di Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat.
Beliau berkata bertindak atas maklumat, polis berjaya mengesan kenderaan itu namun suspek enggan memberhentikan lori berkenaan, sebaliknya memandu secara berbahaya dan merempuh sebuah kereta peronda polis sebelum ditahan pada 10.20 pagi.
Pemeriksaan ke atas suspek menemukan satu paket lut sinar mengandungi bahan disyaki dadah, manakala ujian saringan awal air kencing mengesahkan lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine.
Mohd Sohaimi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri kenderaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang penjawat awam), Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (memandu melulu), serta Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Terdahulu, tular beberapa rakaman video di media sosial memaparkan insiden aksi pengejaran melibatkan beberapa kenderaan polis dan lori berkenaan di sekitar kawasan Pasir Gudang.
-- BERNAMA