Skip to main content

Malaysia

Penunggang motosikal didakwa cuai langgar dua murid

Muhammad Amin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menunggang motosikal dengan tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan kepada dua orang pejalan kaki, minggu lalu. - Foto Bernama
Muhammad Amin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menunggang motosikal dengan tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan kepada dua orang pejalan kaki, minggu lalu. - Foto Bernama

Advertisement

BUKIT MERTAJAM: Seorang pembantu khidmat am mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menunggang motosikal secara tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan dua pejalan kaki, minggu lepas.

Muhammad Amin Abdul Hamil, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Razali.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Amin sebagai penunggang motosikal Honda RS-X didakwa menunggang kenderaan itu di atas jalan raya dengan tidak cermat dan tanpa pertimbangan munasabah terhadap pengguna jalan raya lain sehingga menyebabkan kemalangan kepada dua pejalan kaki.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Permatang Pauh, dalam daerah Seberang Perai Tengah pada 7.20 pagi, 23 Sept lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM10,000 dan boleh juga dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 12 bulan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun menawarkan jaminan RM10,000, manakala peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili tertuduh, K. Puvirajan memohon jaminan minimum atas alasan tertuduh perlu menanggung kedua-dua ibu bapa yang tidak bekerja.

"Tertuduh belum berkahwin dan baru mendapat kerja sebagai pembantu khidmat am di Kementerian Kesihatan empat bulan yang lalu dengan pendapatan RM1,500.

"Dia juga tidak mempunyai risiko melarikan diri dan difahamkan ada usaha untuk mencapai penyelesaian antara pengadu dan tertuduh di luar mahkamah,” katanya.

Difahamkan, kedua-dua pejalan kaki yang merupakan murid sekolah itu mengalami kecederaan tisu lembut dan kini menjalani aktiviti harian seperti biasa.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dan menetapkan 18 Nov depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 23 Sept lepas, media melaporkan polis sedang mengesan seorang penunggang motosikal yang dipercayai melanggar dua murid perempuan berusia lapan dan sembilan tahun ketika mereka melintas jalan di hadapan sebuah sekolah rendah di Permatang Pauh.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata pihaknya mengesan video berdurasi kira-kira 30 saat mengenai kejadian itu yang tular menerusi media sosial dan siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira 7.20 pagi.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement