33 penduduk dipindahkan susulan banjir kilat di Selama

Kesemua mangsa daripada 10 keluarga, dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air kira-kira 1 meter.

Seramai 33 penduduk Kampung Sungai Kuning, Rantau Panjang dekat sini dipindahkan ke pusat pemindahan sementara apabila rumah mereka dilanda banjir kilat malam tadi. -Gambar hiasan | Astro Awani
Seramai 33 penduduk Kampung Sungai Kuning, Rantau Panjang dekat sini dipindahkan ke pusat pemindahan sementara apabila rumah mereka dilanda banjir kilat malam tadi.

Kesemua mangsa daripada 10 keluarga, dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air kira-kira 1 meter.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak berkata mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 8.12 malam.

Menurutnya, kesemua mangsa yang terdiri daripada 18 lelaki dan 15 perempuan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di surau kampung tersebut yang dibuka pada jam 9 malam.

“Pasukan bomba berterusan memantau keadaan dan memastikan keadaan adalah selamat dan terkawal,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Menurutnya, operasi menyelamat dijalankan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selama yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II M.K Murugan.