Seramai 334 orang Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) telah ditauliahkan dalam Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Penganugerahan Watikah Tauliah Pegawai Kadet dan Pegawai Graduan ATM 2018 di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi Ahad lalu.

Kesemua Pegawai Kadet ALK itu terdiri daripada 117 Pegawai Kadet Tentera Darat Malaysia (TDM), 94 Pegawai Kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 123 Pegawai Kadet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Kesemua Pegawai Kadet itu juga merupakan graduan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di peringkat ijazah sarjana muda yang telah tamat pengajian pada 7 November tahun lalu dan telah menjalani Latihan Ketenteraan Tahun Akhir selama enam bulan.

Antara bidang pengajian akademik yang diikuti oleh Pegawai Kadet UPNM di peringkat ijazah sarjana muda meliputi bidang perubatan, kejuruteraan, pengurusan sumber manusia, pengajian strategi, teknologi maritim, sains komputer dan juga sains sosial.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-XV, Sultan Muhammad V telah berkenan mencemar duli bagi menyempurnakan istiadat tersebut.



Anugerah Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan dan penyandang Pedang Kehormat dianugerahkan kepada Pegawai Rendah Kanan Muhammad Aiezad Azhar.

Beliau merupakan Pegawai Kadet Udara berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Kuasa dan ditauliahkan ke Cawang Juruterbang, Tentera Udara Diraja Malaysia.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Seri Zulkiple Kassim, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Badaruddin, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Affandi Buang (TUDM) dan Naib Canselor UPNM, Jen Tan Sri Panglima Zulkifli Hj Zainal Abidin.

Hujan pada pagi Ahad itu telah meninggalkan lopak-lopak air di Dataran Panglima Tentera Darat. Beberapa pegawai kadet telah ditugaskan untuk mengeringkan lopak-lopak air itu sebelum istiadat perbarisan dimulakan. -@Facebook/Hairul Ismail