MIRI: Kerajaan telah mengenal pasti dan sedang menyiapkan sebanyak 339 tapak di Sarawak bagi penyediaan akses perkhidmatan 5G melalui Digital Nasional Berhad (DNB).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata Sarawak adalah antara negeri yang diutamakan bagi pelaksanaan 5G yang bermula di Kuching, Miri dan Bintulu.

Menurutnya, perkhidmatan 5G tersebut dijangka dilaksanakan seawal Oktober tahun ini dan beroperasi sepenuhnya tahun 2023.

“Ini akan meliputi kira-kira 34 peratus liputan kawasan berpenduduk di Sarawak, dan yang lebih penting lagi, kawasan-kawasan ini merupakan kawasan ekonomi utama yang akan memberi impak dan manfaat kepada perusahaan di negeri Sarawak.

“Sehingga 5 Oktober ini, 90 daripada 339 tapak dah siap yang mana 52 daripada 227 tapak 5G di Kuching telah disiapkan kemudian di bahagian Miri dan Bintulu,” katanya.

Beliau berkata demikian selemas Majlis Sesi Pengagihan Perantisiswa Keluarga Malaysia peringkat Zon Sarawak di Institut Pendidikan Guru (IPG) Malaysia Kampus Sarawak, di sini pada Ahad.

Semasa sesi tersebut, lebih 500 orang pelajar dalam kelompok keluarga B40 telah menerima pakej PerantiSiswa dari pelbagai Institusi antaranya IPG Kampus Sarawak, IPTS, Kolej Vokasional dan Tingkatan Enam.

Jelasnya DNB sedang menghadapi sedikit kelewatan dalam pelaksanaan dan giat bekerjasama dengan pihak berkuasa negeri yang berkaitan serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan.

“Lebih penting lagi, penggunaan 5G di Kuching, Miri dan Bintulu akan menjadi pemangkin untuk mendukung cita-cita Digital Sarawak dan Revolusi Perindustrian 4.0 dan saya mengharapkan syarikat-syarikat Telko akan melancarkan perkhidmatan 5G di Sarawak dalam masa terdekat.

“Progres akan kita pantau dan beri kerjasama yang rapat dengan syarikat tempatan, DNB serta Sarawak Energy Berhad (SEB) dan projek ini amat bergantung kepada bekalan elektrik yang stabil dan sempurna, maka kita akan terus adakan libat urus bersama pihak yang terlibat,” katanya.