Skip to main content

Malaysia

34 ditahan dalam serbuan pusat panggilan pertaruhan Piala Dunia 2026

KUALA LUMPUR, 8 Feb -- Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fadil berkata serbuan itu dijalankan Bahagian Pencegahan Judi, Maksiat dan Gengsterisme, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hasil risikan dan pemantauan ke atas kegiatan itu. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis menahan 34 individu termasuk 33 warga asing dalam serbuan di sebuah premis yang dijadikan pusat panggilan pertaruhan bola sepak Piala Dunia 2026 dan pusat hiburan tanpa lesen di Taman Wahyu, Sentul dekat sini semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata serbuan pada 3.30 pagi itu dijalankan Bahagian Pencegahan Judi, Maksiat dan Gengsterisme, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hasil risikan dan pemantauan ke atas kegiatan itu.

Beliau berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 28 warga China, tiga lelaki warga Myanmar, seorang lelaki warga Korea, seorang wanita warga Thailand serta seorang wanita tempatan berusia antara 20 hingga 40 tahun.

“Siasatan awal mendapati premis itu digunakan untuk mengurus, menganjur dan mempromosi perjudian dalam talian membabitkan pertaruhan bola sepak Piala Dunia 2026 selain menjalankan kegiatan pusat hiburan tanpa lesen.

“Premis berkenaan dipercayai mula beroperasi sejak pertengahan Jun lepas dan waktu operasi dari 5 petang hingga 3 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadil berkata polis turut merampas 15 telefon bimbit pelbagai jenama, dua komputer riba, wang tunai RM60 dan pelbagai peralatan muzik yang disyaki digunakan dalam premis itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953, Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992 serta Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement