Skip to main content

Malaysia

343,836 peluang pekerjaan berkaitan TVET ditawarkan dalam enam bulan - Ramanan

KUALA LUMPUR, 23 Jun -- Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berucap pada Majlis Penyerahan Geran Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) Tahun 2026 Peringkat Semenanjung Malaysia di Sunway Putra hari ini._BERNAMA
Ramanan berkata, kementerian akan terus memperluaskan capaian perkhidmatan MYFutureJobs menerusi pelbagai program kerjaya di institusi latihan, politeknik, universiti serta kampus Jabatan Tenaga Manusia. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Permintaan terhadap tenaga kerja mahir terus meningkat apabila sebanyak 343,836 peluang pekerjaan berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ditawarkan menerusi platform MYFutureJobs sepanjang tempoh enam bulan tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, perkembangan itu membuktikan kemahiran teknikal dan vokasional semakin mendapat pengiktirafan dalam pasaran pekerjaan, selari dengan keperluan industri yang sedang melalui transformasi teknologi dan pendigitalan ekonomi.

Beliau berkata, peluang pekerjaan berkaitan TVET yang diiklankan menerusi MYFutureJobs menawarkan purata gaji sebanyak RM3,658 sebulan, sekali gus mencerminkan permintaan tinggi industri terhadap tenaga kerja berkemahiran.

“Malah, bagi bidang tertentu, kadar gaji yang ditawarkan adalah lebih tinggi bergantung kepada pengalaman, lokasi pekerjaan serta pensijilan kompetensi yang dimiliki graduan.

“Keadaan ini menunjukkan bahawa peningkatan kemahiran dan pensijilan profesional mampu membuka peluang kepada pendapatan yang lebih kompetitif,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ramanan berkata, peluang pekerjaan yang ditawarkan merangkumi pelbagai sektor strategik termasuk pembuatan, automasi, kejuruteraan, penyelenggaraan, elektrik dan elektronik, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pembinaan, automotif, semikonduktor serta pengendalian mesin.

Beliau berkata, kepelbagaian sektor berkenaan membuktikan graduan TVET mempunyai prospek kerjaya yang luas merentasi pelbagai industri berimpak tinggi yang menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

Menurut beliau, perkembangan itu turut mencerminkan keyakinan tinggi pihak industri terhadap keupayaan tenaga kerja mahir tempatan dalam memenuhi keperluan pasaran pekerjaan yang semakin berkembang.

Bagi memastikan lebih ramai pelajar TVET mendapat akses kepada peluang kerjaya berkualiti, Ramanan berkata, kementerian akan terus memperluaskan capaian perkhidmatan MYFutureJobs menerusi pelbagai program kerjaya di institusi latihan, politeknik, universiti serta kampus Jabatan Tenaga Manusia.

MYFutureJobs ialah platform padanan pekerjaan yang dikendalikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi membantu pelajar mengenal pasti pekerjaan yang sepadan dengan kemahiran, kelayakan, minat dan lokasi mereka.

Pelajar TVET boleh mendapatkan maklumat mengenai julat gaji, memahami keperluan majikan serta menyertai program kerjaya dan temu duga terbuka menerusi laman sesawang www.myfuturejobs.gov.my.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement