KUALA LUMPUR: OCBC Bank menyemak turun unjuran harga minyak mentah Brent bagi akhir 2027 kepada AS$75 setong daripada AS$85 setong sebelum ini, susulan jangkaan konflik di Asia Barat yang semakin reda serta peningkatan kapasiti eksport minyak di rantau Teluk.
Bagaimanapun, bank itu mengekalkan unjuran harga Brent bagi akhir 2026 pada AS$100 setong.
Ahli strategi komoditi bank itu, Sim Moh Siong berkata pasaran minyak masih mempunyai stok simpanan yang rendah, manakala kapasiti kapal tangki kekal terhad dan laluan perkapalan di Asia Barat masih terdedah kepada gangguan.
Beliau berkata kemungkinan Parti Demokrat memperoleh kawalan lebih besar ke atas Kongres Amerika Syarikat (AS) boleh meningkatkan kos politik dan fiskal bagi sebarang tindakan ketenteraan AS selanjutnya, sekali gus memberi tekanan kepada Washington untuk mencari penyelesaian diplomatik, meskipun Kongres tidak mempunyai kuasa menentukan dasar AS terhadap Iran.
"Dalam jangka panjang, usaha menambah semula inventori serta penambahan infrastruktur eksport di rantau Teluk juga dijangka meningkatkan keupayaan pasaran untuk menyerap kejutan bekalan," katanya dalam satu nota pada Rabu.
Sim berkata sebelum ini, ketidakselarasan antara pemulihan eksport minyak dari rantau Teluk dengan harga minyak yang kekal tinggi sebahagian besarnya berpunca daripada kekangan pengangkutan.
Ini kerana, menurutnya serangan terhadap kapal tangki, laluan perkapalan yang lebih jauh dan kekurangan kapal telah menyebabkan kos pengangkutan meningkat dengan ketara, sekali gus mengekalkan harga minyak mentah yang dihantar ke pasaran pada paras tinggi meskipun eksport serantau kembali pulih.
Penurunan inventori minyak global turut memburukkan keadaan, dengan kontrak niaga hadapan Brent bagi bulan terdekat mencatatkan purata sekitar AS$108 setong pada Oktober meskipun bekalan dari rantau Teluk semakin pulih.
Sim berkata laluan eksport alternatif berpotensi meningkatkan lagi jaminan bekalan pada 2027. Arab Saudi mungkin boleh menggunakan sementara saluran paip gas domestiknya untuk mengangkut minyak mentah, yang berpotensi menyediakan kapasiti pengangkutan tambahan sehingga 1.2 juta tong sehari.
"Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga sedang mempercepatkan pembinaan saluran paip kedua ke Fujairah yang berpotensi menambah kira-kira 1.8 juta tong sehari kapasiti laluan alternatif.
"Secara keseluruhan, kedua-dua projek itu berpotensi menyediakan kapasiti tambahan hampir tiga juta tong sehari di luar Selat Hormuz, meskipun tarikh siap dan jumlah sebenar yang boleh disalurkan masih belum dapat dipastikan," katanya.
Sim berkata pasaran produk petroleum bertapis kekal terhad berbanding minyak mentah, berikutan serangan Ukraine yang terus menjejaskan kapasiti penapisan minyak Rusia.
Sementara itu, bekalan diesel juga masih terdedah kepada gangguan meskipun eksport semakin pulih dan tekanan margin penapisan mula menyederhana.
Meskipun tekanan segera semakin reda, beliau berkata asas pasaran produk petroleum bertapis masih berada dalam keadaan yang tidak menentu.
-- BERNAMA