Skip to main content

Malaysia

Kemalangan maut: Pencuci kereta didakwa bunuh pemandu lori

Seorang pencuci kereta dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pemandu lori dalam satu kejadian kemalangan maut di Jalan Kuching, awal bulan ini. - Foto hiasan
Seorang pencuci kereta dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pemandu lori dalam satu kejadian kemalangan maut di Jalan Kuching, awal bulan ini. - Foto hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang pencuci kereta dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pemandu lori dalam satu kejadian kemalangan maut di Jalan Kuching, di sini, awal bulan ini.

Mohamad Imran Taj Maloor, 32, mengangguk faham selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Advertisement

Lelaki terbabit didakwa membunuh pemandu lori warga Indonesia, Yudi Hartono, 39, di Jalan Kuching dari arah pusat bandar menghala ke Segambut, pada 4.44 pagi, 4 Nov lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun, dan sekiranya hukuman mati tidak diberikan, hendaklah dikenakan sebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Advertisement

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Vivi Asnita Zaina'Larifin manakala tertuduh diwakili peguam Azleen Farahannis.

Tiada jaminan dibenarkan dan mahkamah menetapkan 28 Jan 2027 untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa dalam satu kenyataan hari ini berkata siasatan awal mendapati kereta dipandu tertuduh bersama seorang penumpang lelaki berusia 46 tahun telah melanggar bahagian sisi kanan belakang lori berkenaan.

“Akibat perlanggaran itu, lori terbabas ke bahu kiri jalan manakala pemandunya lelaki warga Indonesia berusia 39 tahun mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Mohd Zamzuri berkata ujian hembusan nafas EBA II merekodkan bacaan 61 miligram bagi setiap 100 mililiter (mg/100ml) terhadap pemandu kereta, manakala penumpangnya mencatatkan bacaan 67 mg/100ml.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement