Penyakit kardiovaskular terus merupakan penyebab utama kematian di hospital-hospital Kementerian Kesihatan dengan kira-kira 35 peratus kematian berlaku pada individu berumur kurang dari 60 tahun, kata menteri berkenaan Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata, terdapat 8,000 pesakit jantung baru setiap tahun dan sakit jantung adalah pembunuh nombor satu di negara ini sejak tiga dekad lalu.

"Lebih mengejutkan kanak-kanak Malaysia sama terdedah kepada risiko penyakit kardiovaskular.

"Risiko ini boleh bermula sebelum kelahiran semasa pertumbuhan janin dan meningkat semasa kanak-kanak dengan mereka terdedah kepada makanan tidak sihat dan kurang senaman," kata beliau dalam ucapan pada majlis pelancaran program hidup sihat, 'Sunway Pyramid Healthy Living' di Petaling Jaya di sini Selasa.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan amat bimbang dengan peningkatan jumlah dewasa dan kanak-kanak Malaysia yang menghidap penyakit kardiovaskular.

Subramaniam berkata kehilangan upaya dan kematian akibat penyakit kardiovaskular berlaku dalam kalangan anggota masyarakat Malaysia yang produktif dari segi ekonomi.

"Selain impak negatif terhadap kualiti kehidupan, penyakit kardiovaskular menambah beban ekonomi individu, keluarga dan komuniti dan mengurangkan daya pengeluaran negara. Ia juga menjejas teruk sistem penjagaan kesihatan awam Malaysia," kata beliau.

Pada sidang akhbar kemudian, Subramaniam berkata penyakit gaya hidup atau penyakit tidak berjangkit yang utamanya disebabkan oleh amalan pemakanan dan kurang perhatian terhadap aktiviti fizikal merupakan beban kepada negara.

"Terdapat juga peningkatan penggunaan tembakau dalam kalangan wanita," kata beliau.

Mengenai cadangan di Dewan Rakyat baru-baru ini agar dihadkan tempoh restoran 24-jam beroperasi sebagai salah satu cara mengatasi obesiti, Subramaniam berkata idea itu perlu dibincangkan dengan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.