ISKANDAR PUTERI: Seramai 38,000 sukarelawan Southern Volunteers (SV) bersedia untuk digerakkan bagi memberi bantuan sekiranya banjir berlaku di negeri itu, susulan ramalan Monsun Timur Laut (MTL) 2023/2024 bermula Sabtu lepas sehingga Mac 2024.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) Datuk On Jabbar berkata bantuan sukarelawan SV, meliputi persediaan sebelum, semasa dan pasca banjir.

"Sukarelawan SV dari segi persediaan banjir akan membantu bukan sahaja sebelum dan semasa, tetapi turut melibatkan pasca banjir seperti membersihkan rumah mangsa.

"Sukarelawan SV ini mengembling tenaga di pelbagai peringkat, seperti bantuan semasa bencana, SV akan membantu agensi di pusat pemindahan sementara (PPS), menyediakan bakul makanan dan sebagainya," katanya ketika diminta mengulas mengenai persediaan banjir.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pentauliahan Tahap Gangsa dan Perak Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) Negeri Johor 2023, di sini pada Isnin.

On menjelaskan sukarelawan SV, menjalani pelbagai kursus persediaan bagi menghadapi bencana banjir dengan kerjasama pelbagai agensi, seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Beliau berkata penugasan sukarelawan tertumpu di Johor, namun tidak menolak kemungkinan untuk menghantar bantuan di negeri lain seperti yang dilakukan semasa bencana banjir sebelum ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) baru-baru ini melaporkan bahawa episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak, semasa fasa awal Monsun Timur Laut dari Nov hingga Jan 2024.

-- BERNAMA