KUALA LUMPUR: Sejumlah 39,164 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ahli keluarga disahkan positif COVID-19 dan dikuarantin sepanjang tempoh 18 Mac 2020 hingga 22 Julai 2021, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Menurutnya, ketika ini sejumlah 452 anggota polis dan keluarga disahkan positif COVID-19 sedang dirawat manakala 2,339 lagi sedang menjalani perintah kuarantin.

"Itu belum campur angka hari ini (Jumaat). Hari ini anggota (dan keluarga) yang positif melebihi 150 orang, cuma angka itu belum disahkan.

"Dalam keadaan kes jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat ini, PDRM juga terlibat. Saya minta semua rakyat, kita jaga sama kita," katanya selepas melakukan pemeriksaan di dua lokasi tapak pembinaan bersempena Op Patuh.

Hamzah pada masa sama berkata, daripada hampir 2800 kes positif COVID-19 dan kuarantin dikalangan anggota polis dan keluarga, sebahagian besar daripada mereka sudah menerima dua dos suntikan vaksin dan sebahagian lagi sudah menerima suntikan dos pertama.

Beliau turut menggesa kesemua anggota PDRM mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan undang-undang sedia ada bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19.

"SOP ini bukan hanya kepada rakyat, ia disiplin untuk semua. Oleh itu semua peringkat jika lakukan kesalahan mesti dikompaun. Ramai menteri pun sudah dikompaun.

"Begitu juga dengan polis, jika langgar SOP akan diambil tindakan. Jika amanah diberikan kepada pihak polis dan mereka langgar amanah ini, pada saya orang seperti ini tidak harus ada dalam pasukan," katanya ketika mengulas kes tangkapan pegawai polis yang didakwa terlibat dalam parti liar di sebuah balai polis.