KUALA LUMPUR: Sebanyak 396 tapak Loji Rawatan Kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Semenanjung Malaysia telah dipilih secara strategik bagi pemasangan teknologi solar Fotovoltan (PV) Fasa 1 sebagai usaha syarikat konsesi itu ke arah pengoperasian yang lebih mampan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata inisiatif yang beroperasi di bawah model Kegunaan Sendiri (SelCo) itu apabila siap kelak, dijangka dapat menjana 22,781 Megawatt-jam (MWj) tenaga solar setahun dengan anggaran penjimatan tahunan elektrik sebanyak RM1.9 juta menjelang 2026.

"IWK menjalinkan kerjasama dengan pakar-pakar pemasangan solar PV, dalam usaha ke arah cuba"IWK telah menandatangani Perjanjian Pembelian Kuasa Tenaga Boleh Diperbaharui (REPPA) dengan empat syarikat untuk melaksanakan projek ini melalui beberapa pakej. Keempat-empat syarikat berkenaan akan melaburkan jumlah perbelanjaan modal (CAPEX) sebanyak RM84 juta bagi pemasangan (PV) di 396 tapak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja ke inisiatif tenaga solar PV Indah Water Konsortium (IWK) di Loji Rawatan Kumbahan (LRK) Pantai 1 IWK di sini pada Selasa.

Katanya, penilaian secara terperinci juga sedang dijalankan bagi pelaksanaan Fasa 2 melibatkan 583 tapak yang berpotensi menjana 21,500 MWj tenaga solar setahun, sekali gus menyumbang kepada penjimatan tahunan tambahan sebanyak RM1.8 juta menjelang 2027.

"Setelah selesai fasa 1 dan 2, IWK menjangkakan pengurangan sebanyak 34.4 kiloton setara karbon dioksida (ktCO2e) pelepasan karbon menjelang 2027," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IWK Narendran Maniam berkata inisiatif itu selaras dengan dasar kerajaan ke arah pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), dalam usaha mencapai sasaran pengurangan karbon menjelang 2040.

Katanya terdapat 1,811 tapak daripada 8,874 loji rawatan kumbahan termasuk stesen pam IWK yang berpotensi untuk penggunaan tenaga solar.

-- BERNAMA