MANJUNG: Empat lelaki rentung selepas kereta mereka terbabas ke dalam longkang sebelum terbakar di Kilometer (KM) 220 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara dekat sini, pada Isnin.

Dalam kejadian berhampiran susur keluar Changkat Cermin pada jam 5.11 petang itu, seorang lagi mangsa berusia 54 tahun berasal dari Ipoh mengalami kecederaan parah.

Mangsa yang terselamat dikenali sebagai Shariff Mohammed Sidek Mohammed, beralamat di Taman Mas Baru, Chemor. 

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata berdasarkan maklumat awal, kesemua mereka dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai bekerja di Lumut.

“Kebakaran berkenaan telah memusnahkan kira-kira 95 peratus Proton Saga itu. Dalam kejadian tersebut, empat mangsa maut sementara seorang mangsa yang terselamat mengalami kecederaan parah.

“Kesemua mereka merupakan pekerja kontrak di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut dan sedang dalam perjalanan pulang ke Ipoh,” katanya pada Isnin.

Menurutnya, operasi memadam kebakaran dan menyelamat mangsa digerakkan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan, dan dibantu BBP Ayer Tawar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

"Semua mangsa dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Menurut Mohamed Nordin, mangsa yang maut ialah pemandu kereta iaitu lelaki Cina berusia 56 tahun, penumpang hadapan iaitu lelaki India berusia 50 tahun serta penumpang belakang iaitu dua lelaki Cina masing-masing berusia 45 dan 53 tahun, yang meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, nahas berlaku selepas pemandu hilang kawalan sehingga kereta itu terbabas serta melanggar besi penghadang jalan dan masuk ke dalam longkang di bahu kiri jalan sebelum terbakar.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(I) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Lily Suryana Roslaili di talian 013-655 9693.