KUALA LUMPUR: Seramai 15 alumni United Kingdom (UK) di Malaysia menerima pengiktirafan Study UK Alumni Awards 2021-2022 Malaysia atas pencapaian cemerlang mereka sebagai golongan profesional perniagaan, usahawan dan pemimpin komuniti, termasuk sumbangan positif kepada komuniti, pekerjaan dan negara masing-masing.

Para pemenang dipilih untuk empat kategori anugerah, iaitu Anugerah Sains dan Kelestarian, Anugerah Budaya dan Kreativiti, Anugerah Tindakan Sosial dan Anugerah Perniagaan dan Inovasi.

Anugerah antarabangsa yang berprestij ini meraikan pengajian tinggi di UK dan pencapaian para alumni UK di seluruh dunia.

Anugerah yang kini dalam tahun kelimanya telah menerima lebih daripada 1,500 permohonan daripada alumni UK antarabangsa di lebih 100 buah negara, mewakili lebih daripada 140 institusi pengajian tinggi di seluruh UK.

Anugerah Sains dan Kelestarian telah disampaikan kepada Justin Jing Ho Chin, seorang siswazah Imperial College, London. Justin adalah Pengarah Urusan Gamuda Engineering dan telah meluangkan kerjayanya untuk membina terowong bagi laluan-laluan metro Kuala Lumpur dengan inovasi-inovasi kejuruteraan yang telah memenangi pelbagai anugerah.

Dr. Nur Izzati Jamalludin, seorang siswazah King’s College, London dalam bidang Etnomuzikologi yang kini bertugas sebagai pensyarah kanan di Fakulti Muzik Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah memenangi Anugerah Budaya dan Kreativiti.

Anugerah Tindakan Sosial pula telah disampaikan kepada Izza Izelan, seorang wartawan, penyokong dan pengarah eksekutif Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis (WOMEN girls).

Izza yang menamatkan pengajian di Institute of Education, University College London, telah memanfaatkan pengalamannya di UK untuk membantu lebih 19,000 penerima manfaat di seluruh Malaysia melalui organisasi bukan berasaskan keuntungannya.

Anugerah Perniagaan dan Inovasi telah dimenangi Melvin Poh, seorang siswazah Imperial College, London. Beliau adalah pengasas dan Ketua Pegawai Operasi Empirics Asia, sebuah platform perkongsian pengetahuan dengan akses terbuka yang bertujuan memudahkan pertukaran bersama maklumat, idea dan pengalaman di seluruh Asia.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay berkata, UK menawarkan kecemerlangan akademik serta persekitaran pembelajaran yang meluaskan perspektif dan membina karakter.

"Saya amat gembira melihat begitu ramai rakyat Malaysia telah menerima manfaat daripada pengajian di UK dan telah meraih kejayaan yang hebat dalam kerjaya mereka. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada para finalis UK Alumni Awards.

"Mereka telah membukfikan bahawa mereka adalah pemimpin dan perintis yang berwibawa, mencipta perubahan dalam kerjaya dan komuniti masing-masing," katanya.

Menurut Pengarah British Council Malaysia, Jazreel Goh berkata, anugerah itu membolehkan mereka meraikan peranan pelajar-pelajar antarabangsa dalam menjadikan UK salah satu destinasi pengajian tinggi antarabangsa yang paling dinamik dan menguntungkan. - DagangNews.com