KUANTAN: Empat wanita berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam kebakaran bangunan rumah kedai di Jalan IM3/11, Bandar Indera Mahkota di sini, awal pagi Khamis.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, semua mangsa berusia 30 hingga 46 tahun yang berlindung di bumbung bangunan berjaya diselamatkan.

Menurutnya, dua daripada mangsa dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami sesak nafas.

"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 4.02 pagi.

"Seramai 19 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota dan Taman Tas bersama empat jentera ke lokasi untuk operasi pemadaman," katanya.

Ismail berkata, kebakaran berlaku di tingkat satu bangunan rumah kedai tiga tingkat yang dijadikan asrama pekerja dan terdapat empat mangsa berlindung di bahagian bumbung.

"Anggota bomba menggunakan tangga jentera untuk naik dan membawa turun semua mangsa yang diselamatkan.

"Pasukan bomba juga berjaya memadam kebakaran bangunan dengan anggaran kemusnahan 40 peratus," katanya. - Sinar Harian