Pasukan Petugas Khas (Task Force) yang menyiasat dakwaan salah guna dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjangkakan akan ada lagi akaun yang bakal dibekukan.

Setakat ini pasukan petugas khas itu telah membekukan sebanyak 408 akaun bank melibatkan dana RM1.1 bilion daripada akaun-akaun milik individu, parti politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada 26 dan 29 Jun 2018 lalu.

Akaun yang dibekukan turut membabitkan 81 individu serta 55 buah syarikat yang dipercayai pernah menerima dana daripada 1MDB.

"Akaun-akaun tersebut dipercayai ada kaitan dengan penyelewengan dan salah guna dana 1MDB. Ia melibatkan hampir 900 transaksi yang dibuat antara Mac 2011 dan September 2015," kata kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Siasatan kini sedang dijalankan secara menyeluruh dan adil bagi mengenalpasti tahap pembabitan pihak-pihak terbabit dan berharap semua pihak yang terlibat akan memberi kerjasama dengan pihaknya.

Tambah kenyataan itu lagi, kesemua akaun dibekukan mengikut peruntukan undang-undang negara ini sebagaimana lazimnya dilakukan, dan oleh itu, tidak timbul isu tindakan membekukan akaun diambil untuk menganiaya mana-mana pihak.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, pasukan petugas khas 1MDB menafikan terlibat dengan tindakan pembekuan akaun Yayasan Kesuburan Tunku Azizah (TAFF).

"Yayasan tersebut tiada kaitan dengan siasatan 1MDB yang sedang dijalankan oleh Pasukan Petugas Khas 1MDB ketika ini.," kata kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, semua pihak diminta agar tidak mengaitkan isu terbabit dengan siasatan kes 1MDB.