Skip to main content

Malaysia

46 kes kemalangan, 11 maut sepanjang program RXZ Members 8.0

KUALA TERENGGANU, 3 Ogos -- Pelbagai jenis motosikal yang memiliki pelbagai kesalahan disita oleh polis menerusi operasi sepanjang himpunan RXZ Members 8.0 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu hari ini.  Polis telah mengeluarkan 1,850 keping saman atas pelbagai kesalahan dan menyita sebanyak 222 motosikal mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
JSPT memandang serius jumlah kemalangan maut dan parah yang berlaku, khususnya membabitkan penunggang motosikal daripada golongan muda. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 46 kes kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal direkodkan dalam tempoh empat hari bermula 30 Julai hingga Ahad lepas, sepanjang penganjuran program RXZ Members 8.0.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata daripada jumlah itu 11 kes atau 23.91 peratus adalah kemalangan maut, lima kes (10.87 peratus) kemalangan parah dan 30 kes (65.22 peratus) kemalangan ringan.

Beliau berkata mengikut pecahan harian, empat kes direkodkan pada 30 Julai, 16 kes (31 Julai), 11 kes (1 Ogos) dan 15 kes (2 Ogos) melibatkan keseluruhan 44 mangsa lelaki dan dua wanita.

“Analisis profil umur pula mendapati golongan berumur antara 21 hingga 30 tahun mencatatkan penglibatan tertinggi iaitu 19 orang, diikuti kumpulan umur 18 hingga 20 tahun (10), 41 hingga 50 tahun (sembilan) dan 31 hingga 40 tahun (lapan),” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook rasmi JSPT hari ini.

Muhammed Hasbullah berkata analisis turut mendapati jenis kemalangan langgar belakang mencatatkan jumlah tertinggi dengan 21 kes, diikuti terbabas sendiri (15), langgar sebelah tepi (tujuh) dan bergesel (tiga).

Beliau berkata kesemua 11 kes kemalangan maut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala lima kes kemalangan parah disiasat di bawah Seksyen 43(1) akta sama dan kes kemalangan ringan mengikut peruntukan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas berkaitan.

Muhammed Hasbullah berkata JSPT memandang serius jumlah kemalangan maut dan parah yang berlaku, khususnya membabitkan penunggang motosikal daripada golongan muda.

“Antara faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada kemalangan ini adalah kecuaian, kegagalan mengawal kenderaan, mengekori terlalu rapat serta tindakan menunggang secara tidak selamat yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Sehubungan itu, Muhammed Hasbullah menasihatkan penunggang motosikal sentiasa mematuhi had laju, mengekalkan jarak selamat, mengelakkan pergerakan secara berkumpulan yang tidak terkawal, tidak berlumba atau melakukan aksi berbahaya serta memastikan motosikal berada dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan.

Beliau turut menyarankan penganjur program atau perhimpunan bermotosikal menyediakan pelan pergerakan yang teratur, memberikan taklimat keselamatan kepada peserta serta menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa bagi mengurangkan risiko kemalangan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement