Ringkasan AI
- Barisan Nasional dan Perikatan Nasional menawarkan 20 komitmen utama merangkumi 113 inisiatif kepada rakyat Melaka untuk tempoh lima tahun akan datang.
- Manifesto meliputi aspek perumahan, kos sara hidup, pendidikan, peluang pekerjaan, kebajikan rakyat, pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri tanpa meminggirkan mana-mana kaum atau agama.
- Antara inisiatif utama ialah air domestik percuma, 25,000 rumah mampu milik, bantuan perniagaan, geran pendidikan, serta bantuan kebajikan untuk pelbagai golongan masyarakat.
AYER KEROH: Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menawarkan 20 komitmen utama merangkumi 113 inisiatif kepada rakyat Melaka bagi tempoh lima tahun akan datang sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Manifesto bertemakan “Membina Masa Depan Melaka, Memakmurkan Negara” itu dirangka berteraskan enam teras utama dengan mengambil kira keperluan kira-kira 1.06 juta penduduk negeri berkenaan.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata manifesto di bawah panji “BN Sayang Rakyat” dan “Muafakat Melaka” itu merangkumi pelbagai lapisan masyarakat, daripada kanak-kanak dan golongan muda hingga warga emas tanpa meminggirkan mana-mana kaum serta agama.
“Sebanyak 113 inisiatif ditawarkan kepada kira-kira 687,697 pengundi di Melaka, meliputi aspek perumahan, kos sara hidup, pendidikan, peluang pekerjaan, kebajikan rakyat, pertumbuhan ekonomi serta pembangunan negeri.
“Daripada keseluruhan 113 inisiatif tersebut, 20 komitmen utama diberikan penekanan khusus kerana mempunyai kaitan langsung dengan keperluan rakyat,” katanya ketika melancarkan manifesto BN-PN bagi PRN Melaka, hari ini.
Antara komitmen utama yang ditawarkan ialah menyediakan penggunaan air domestik secara percuma bagi penggunaan di bawah 20 meter padu sebulan serta menyediakan 25,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun.
BN-PN turut memberi komitmen untuk tidak menaikkan kadar cukai tanah selama lima tahun selain melaksanakan kerja baik pulih dan pembinaan baharu rumah menerusi inisiatif Melaka Rumahku.
Dalam sektor ekonomi, gabungan itu berjanji menyediakan bantuan dana perniagaan kepada peniaga kecil serta mewujudkan 25,000 peluang pekerjaan melalui pembangunan kawasan perindustrian baharu.
Bagi sektor pendidikan, manifesto itu menawarkan geran secara sekali bayar kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di seluruh sekolah negeri Melaka.
“Pada masa sama, menyediakan tuisyen percuma kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Bantuan penyelenggaraan motosikal kepada penghantar makanan (P-Hailing), saguhati secara sekali bayar kepada jemaah haji serta potongan 30 peratus bagi pembelian ayam dan daging menerusi program Jualan MesRa,” tambah Ketua Menteri Melaka itu.
Dalam aspek kebajikan pula, bantuan termasuk lampin pakai buang untuk warga emas dan susu bagi pesakit terlantar turut digariskan.
Manifesto itu juga menawarkan penyediaan ambulans percuma dengan konsep satu pihak berkuasa tempatan (PBT) satu ambulans, selain kerjasama dengan ambulans lain.
Bagi golongan kanak-kanak, simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebanyak RM100 secara sekali bayar akan diberikan kepada bayi Melaka bermula 1 Januari 2027.
BN-PN turut berjanji menyediakan bantuan kepada rumah ibadat bukan Islam serta pinjaman sehingga RM80,000 menerusi inisiatif Bina Rumah bagi membolehkan rakyat membina rumah di atas tanah sendiri.
Golongan anak muda pula akan mendapat manfaat menerusi geran permulaan perniagaan, manakala bantuan tambang pengangkutan ditawarkan kepada murid Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).
Manifesto itu turut menawarkan saguhati secara sekali bayar kepada pasangan yang baharu berkahwin serta meningkatkan kemudahan lampu solar di kawasan kampung dan jalan utama.
BN meletakkan 23 calon, manakala PN mempertaruhkan lima calon pada PRN Melaka ke-16.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai Hari Pengundian, sementara 10 November ini sebagai Undi Awal.