IPOH: Sebanyak 46 pelajar sebuah sekolah menengah berasrama di sini didiagnosis menghidapi jangkitan Influenza-Like Illness (ILI) susulan kejadian kluster Influenza A yang dikesan melanda sekolah berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak Datuk A. Sivanesan berkata angka itu diperoleh menerusi saringan dan penilaian kesihatan terhadap 61 pelajar bergejala oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta sehingga 14 Sept lepas.
Beliau berkata selain kes ILI, saringan berkenaan turut mendapati 14 pelajar mengalami Upper Respiratory Tract Infection (URTI), manakala seorang pelajar menghidap konjunktivitis, dengan sampel swab nasofarinks (NPS) daripada enam pelajar telah diambil bagi ujian pengesahan makmal.
"Sehingga 15 Sept 2026, semua pelajar yang telah dinilai dilaporkan berada dalam keadaan stabil. JKN (Jabatan Kesihatan Negeri) Perak melalui PKD Kinta akan terus memantau situasi, termasuk kejadian kes baharu dan keputusan ujian makmal, serta memperkukuh langkah kawalan dan pencegahan sekiranya diperlukan.
"Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menjelaskan kronologi kejadian, Sivanesan berkata isu berkenaan bermula pada 14 Sept apabila 57 pelajar bergejala dibawa secara serentak ke sebuah klinik kesihatan berhampiran tanpa pemakluman awal, sebelum pasukan kawalan PKD Kinta digerakkan ke sekolah bagi pemeriksaan berpusat.
Beliau berkata semalam, pihak sekolah melaporkan tambahan 27 orang pelajar bergejala dan walaupun pihak sekolah dinasihatkan supaya membawa pelajar bergejala secara berperingkat bagi mengelakkan kesesakan di klinik, pihak sekolah memaklumkan hasrat membawa pelajar menggunakan sebuah bas milik sekolah.
"Penyelarasan semula kemudiannya dibuat oleh pihak klinik bagi memastikan proses penerimaan, saringan, dan penilaian pesakit dapat dilaksanakan secara teratur dan terkawal.
"Sebanyak 12 orang pelajar bergejala tambahan turut dikenal pasti, menjadikan keseluruhan 39 orang pelajar menjalani penilaian kesihatan pada 15 Sept 2026. Penilaian selesai pada 1 tengah hari dan kesemua pelajar dilaporkan berada dalam keadaan stabil," katanya.
Beliau berkata antara langkah kawalan dan pencegahan diambil adalah pihak sekolah diarahkan mengasingkan pelajar bergejala daripada pelajar lain dengan pelajar yang sesuai untuk pulang diuruskan kembali ke rumah bagi menjalani isolasi kendiri sehingga pulih.
Sivanesan berkata pendidikan kesihatan juga telah diberikan kepada pihak pengurusan sekolah, guru dan pelajar berkaitan langkah pencegahan jangkitan, termasuk kebersihan tangan, etika batuk dan bersin, penggunaan pelitup muka bagi individu bergejala serta kepentingan mendapatkan rawatan sekiranya gejala bertambah teruk.
Katanya pihak sekolah turut dinasihatkan supaya tidak membawa pelajar bergejala dalam jumlah yang ramai secara serentak ke fasiliti kesihatan dengan sebarang keperluan membawa sejumlah besar pelajar mendapatkan pemeriksaan hendaklah diselaraskan terlebih dahulu dengan fasiliti kesihatan.
Beliau menasihatkan orang awam mengambil langkah untuk mengurangkan risiko jangkitan dan penularan influenza antaranya kerap mencuci tangan, menutup mulut ketika batuk serta bersin, di samping mengelakkan kontak rapat dengan individu bergejala.
"Ibu bapa dan penjaga disarankan supaya memastikan anak yang bergejala tidak hadir ke sekolah sehingga pulih, mengajar amalan mencuci tangan serta etika batuk dan bersin yang betul dan membekalkan pelitup muka serta pensanitasi tangan untuk kegunaan anak sekiranya diperlukan.
"Ibu bapa juga digalakkan mendapatkan pemeriksaan kesihatan bagi anak sekiranya gejala berterusan atau bertambah teruk serta mempertimbangkan vaksinasi influenza melalui fasiliti kesihatan yang menyediakan perkhidmatan tersebut," katanya.
Beliau berkata pihak sekolah pula perlu meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga sekolah supaya melaporkan dengan segera sekiranya mengalami gejala, melaksanakan pemantauan harian terhadap pelajar bagi mengenal pasti kes bergejala dengan lebih awal serta menyediakan ruang pengasingan sementara bagi pelajar bergejala.
-- BERNAMA