KUALA LUMPUR: Sebanyak 463 kawasan di lima wilayah di Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih pada Sabtu.

Menurut Syarikat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), gangguan itu akibat pencemaran bau di muka sauk LRA tersebut yang dikesan pada 12.15 tengah hari tadi.

Lima daerah terjejas adalah Sepang dengan 194 kawasan, Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan).

Bagaimanapun, LRA sudah mula beroperasi beroperasi bagi memulakan proses pembersihan berikutan bacaan pencemaran bau berada pada tahap 0 ton setakat 4 petang tadi.

“Bekalan air bersih dan terawat dijangka akan dapat disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada para pengguna bermula jam 12.30 pagi, 1 Mei 2022,” menurut syarikat itu dalam satu kenyataan.

Sementara itu, bantuan alternatif melalui lori tangki turut telah digerakkan kepada pengguna, dengan beberapa premis kritikal diutamakan.