JOHOR BAHRU: Sebanyak 4,646 kes keganasan rumah tangga direkodkan di seluruh negara dari Januari hingga Julai tahun ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying berkata bagi tempoh sama, Johor merekodkan 823 kes berbanding 518 kes yang dilaporkan pada 2025.
Beliau berkata lonjakan angka itu menjadi peringatan penting supaya usaha pencegahan, intervensi awal serta akses terhadap saluran bantuan diperkukuh secara berterusan menerusi inisiatif Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).
“Keganasan rumah tangga bukan hanya melibatkan fizikal, malah boleh berbentuk emosi, psikologi, seksual dan kewangan termasuk kawalan terhadap pergerakan serta hubungan seseorang yang kini turut meluas ke ruang digital.
“Ia sering bermula dengan perlakuan yang dianggap biasa seperti kawalan berlebihan, ugutan atau penghinaan. Justeru masyarakat perlu peka terhadap tanda-tanda awal sebelum keadaan menjadi lebih serius,” katanya.
Lim berkata demikian ketika merasmikan Program Advokasi Kesejahteraan Untuk Wanita @ Keganasan Rumah Tangga (Aku Wanita @ KRT) dan Hari Terbuka PRISMAnita Negeri Johor 2026 anjuran JPW di Seri Alam di sini hari ini.
Dalam usaha memastikan wanita mendapat akses kepada bantuan dengan lebih cepat dan sistematik, beliau berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyediakan PRISMAnita, iaitu Perantara Rujukan, Intervensi, Sokongan, Maklumat dan Advokasi untuk Wanita.
“PRISMAnita dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 10 Mac bagi menghubungkan wanita dengan perkhidmatan kerajaan serta agensi berkaitan secara lebih cepat, tersusun dan mesra pelanggan.
“Sehingga Ogos lepas, sebanyak 117 klien telah mendapatkan perkhidmatan melalui PRISMAnita @ PPWN (Pejabat Pembangunan Wanita Negeri) di seluruh negara,” katanya.
Lim berkata mereka yang memerlukan bantuan atau mahu membuat aduan boleh menghubungi Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam, aplikasi WhatsApp 019-2615999 atau hadir ke PPWN dan balai polis berdekatan.
-- BERNAMA