Seramai 47 orang pendatang asing tanpa izin warga Indonesia ditahan ketika cuba menyeludup keluar dari negara ini menerusi Pantai Temalah, dekat Sedili Besar, di sini, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Mohd Nor Rasid berkata kesemua 35 lelaki dan 12 wanita itu ditahan kira-kira pukul 12.15 malam tadi oleh sepasukan tujuh anggota polis.

"Kesemua mereka berjaya ditahan selepas polis melakukan intipan selama seminggu di belukar berhampiran pantai berkenaan yang menjadi tempat persembunyian rakyat Indonesia terbabit," katanya di sini, hari ini.

Mohd Nor berkata siasatan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan 2002) kerana keluar dari negara ini melalui pangkalan yang tidak diwartakan dan Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.