KUALA LUMPUR: Sebanyak 474 produk, teknologi dan perkhidmatan berjaya dikomersialkan menerusi penganjuran Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY Summit) sepanjang 2016 hingga 2022.

Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) memaklumkan pengkomersialan produk, teknologi dan perkhidmatan itu melibatkan pasaran tempatan serta antarabangsa dengan nilai hasil melebihi RM540 juta.

Selain itu, penyertaan Malaysia di Ekspo 2020 Dubai yang diterajui MOSTI juga berjaya menjana pulangan pelaburan dan perniagaan bernilai lebih daripada RM9 bilion.

Sidang Kemuncak MCY 2023 dengan bertemakan Supercharge Your Way to Impact berlangsung selama dua hari di Bangsar dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada majlis itu, perdana menteri turut melancarkan Malaysia Technology Commercialisation Platform (MATCH) iaitu platform inovasi pengewangan yang menghubung dan menawarkan penyelesaian kepada pembekal serta pencari teknologi sekali gus mempercepatkan proses komersialisasi teknologi di Malaysia.

Perdana menteri turut menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) iaitu antara MRANTI dengan AstraZeneca Malaysia; MRANTI dengan Eastern Academic Health Science Network (EAHSN), United Kingdom dan Fuciphagus Agritech Sdn Bhd dengan Eu Yan Sang serta satu Memorandum Perjanjian (MoA) antara Free The Seed Sdn Bhd dengan Nissho Precision (Malaysia) Sdn Bhd.

-- BERNAMA