IPOH: Sebanyak 4,848 kes penipuan dalam talian telah direkodkan di negeri Perak sepanjang tahun 2025, kata Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Azlan Helmi.
Menurutnya, jumlah kerugian pula mencecah lebih RM124.9 juta.
Advertisement
Katanya, antara bentuk penipuan yang paling kerap berlaku ialah penipuan telekomunikasi seperti panggilan palsu dan phishing, diikuti penipuan pelaburan tidak wujud, penipuan e-dagang, love scam, serta penipuan berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin canggih dan sukar dikesan.
“Bagi menangani isu ini, pelaksanaan langkah jangka pendek melalui penubuhan National Scam Response Centre (NSRC) bagi mempercepatkan tindakan menyekat transaksi dan mengesan akaun penjenayah, di samping mempergiat kempen kesedaran serta memperkukuh kerjasama antara pihak berkuasa, institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi,” katanya ketika sesi soal jawab lisan Wong May Ing (PH - Pantai Remis) pada Persidangan DUN Perak, di sini, hari ini.
Beliau berkata, untuk jangka panjang pula, kerajaan memberi penekanan kepada pendidikan literasi digital, penggunaan teknologi kecerdasan buatan dan analisis data bagi pengesanan awal, pengukuhan undang-undang serta tindakan tegas terhadap sindiket penipuan dan akaun keldai.
Selain itu, ujarnya, ekosistem keselamatan kewangan negara turut diperkukuh melalui kerjasama rentas agensi.
“Perhatian khusus diberikan kepada perlindungan golongan berisiko seperti warga emas, pesara dan pelajar melalui pelbagai program pencegahan yang lebih bersasar,” tambahnya.
Menurut Azlan, penekanan diberikan kepada pendidikan literasi digital, penggunaan teknologi AI dan analisis data bagi pengesanan awal, serta pengukuhan undang-undang termasuk tindakan tegas terhadap sindiket dan akaun keldai.
Katanya, ekosistem keselamatan kewangan turut diperkasa melalui kerjasama antara agensi berkaitan.
Beliau berkata, berdasarkan data daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan bahawa kes penipuan dalam talian di Perak tahun lalu melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur, pekerjaan mahupun latar belakang, termasuk pelajar, penjawat awam, pesara dan sektor swasta.
Menurutnya, didapati juga bahawa mangsa lelaki dan wanita adalah hampir seimbang, manakala warga emas dikenal pasti sebagai golongan paling terdedah, namun trend terkini menunjukkan peningkatan kes dalam kalangan pelajar.
“Kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan agensi seperti PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk perlaksanaan pelbagai usaha bagi mengurangkan kadar kejadian penipuan dalam talian,” ujarnya.