KUALA LUMPUR: Sebanyak 497 entiti telah dimasukkan ke dalam Senarai Amaran Pengguna Kewangan di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) sehingga 2023, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Senarai Amaran Pengguna Kewangan adalah panduan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai entiti atau skim yang telah disalah anggap atau kelihatan sebagai entiti atau skim berlesen atau dikawal selia oleh BNM.

Selain pengemaskinian entiti terlibat, bank pusat juga mengambil pelbagai langkah terhadap syarikat-syarikat yang mendakwa memperoleh lesen dan kelulusannya termasuklah mengambil tindakan undang-undang di atas penyalahgunaan nama BNM, katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Semasa menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) mengenai keberkesanan BNM dalam mengesan dan memperoleh semula aset atau wang hasil penipuan pelaburan, skim ponzi dan dalam talian, Lim memberitahu bahawa perkara-perkara itu dipantau oleh pelbagai agensi bergantung kepada elemen kesalahan tersebut di bawah bidang kuasa masing-masing.

Bagi BNM, beliau berkata kerjasama dengan pihak berkuasa asing turut dijalankan bagi analisis jejakan kewangan atau siasatan ke atas sebarang jenayah penipuan dan skim kewangan haram yang dilakukan dalam negara mereka.

Selain itu, kerjasama strategik pelbagai pihak juga berterusan di antara BNM, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), agensi-agensi penguatkuasaan yang lain, institusi-institusi kewangan dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) bagi tindakan penguatkuasaan yang lebih cekap ke atas sindiket jenayah penipuan pelaburan melalui perkongsian maklumat dan aktiviti menjejak dan mengesan aliran wang haram.

"Penjenayah pengubahan wang haram bukan sahaja boleh dikenakan hukuman penjara, malah aset serta wang hasil yang diperolehi menerusi kegiatan haram juga boleh disita atau dilucuthakkan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

"Contohnya, pihak SC telah mengambil tindakan menyita wang berjumlah RM116 juta dalam tempoh 2021 hingga 2023," katanya.

Justeru, tegasnya tahap keberkesanan dalam mengesan dan memperoleh semula aset/wang hasil permerdayaan boleh dinilai melalui usaha yang dilaksanakan dari segi pencegahan dan penguatkuasaan.

Katanya sehingga Jun 2023, semua bank utama telah melaksanakan lima langkah utama iaitu mempercepatkan peralihan kepada kaedah pengesahan yang lebih kukuh daripada penghantaran kata laluan sekali sahaja (OTP), mengetatkan peraturan pengesanan penipuan bank, tempoh pengesahan dan menunggu untuk pendaftaran kali pertama perkhidmatan perbankan, mengehadkan hanya satu peranti mudah alih untuk didaftarkan dan menyediakan saluran aduan khusus untuk pelanggan.

Selain BNM, SC telah mengambil pelbagai tindakan untuk membanteras penipuan kewangan termasuk mengambil 15 tindakan pentadbiran dengan mengenakan penalti dan melucuthakkan keuntungan; kemasukan 315 syarikat ke dalam Senarai Peringatan Pelabur (Investor Alert List) dan pengeluaran lima notis henti operasi (cease and desist).

SC juga membuat 97 laporan polis berhubung perkara-perkara di bawah bidang kuasa PDRM, serta 128 rujukan kepada agensi tempatan atau pengawal selia asing dan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk melakukan sekatan laman sesawang bagi 146 kes, serta bersama Meta Malaysia bagi sekatan Facebook dan Instagram (95 kes) dan sekatan akaun aplikasi Telegram (153 kes).

-- BERNAMA