SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.

1. Terkini COVID-19

Kementerian Kesihatan Iran pada Rabu mengesahkan dua orang meninggal dunia selepas disahkan positif COVID-19, iaitu kematian pertama berkaitan jangkitan itu di Asia Barat.

Kedua-dua mangsa yang merupakan warga emas, tiada sejarah berkunjung ke luar negara.

Sementara itu di peringkat global, angka terkini jangkitan positif COVID-19 telah melebihi 75,000 dengan jumlah kematian seramai 2,017 keseluruhannya.

2. MH370: Terpulang kepada Tony Abbott untuk buat kenyataan

Ini pula berhubung bekas perdana menteri Australia, Tony Abbott, dalam satu dokumentari pada Selasa yang mendakwa diberitahu pegawai tinggi Kerajaan Malaysia bahawa insiden MH370 adalah kes bunuh diri.

Susulan itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menjelaskan, sukar untuk mengesahkan punca sebenar kehilangan pesawat Malaysia Airlines itu.

Katanya, polis telah menyiasat semua kebarangkalian di sebalik misteri kehilangan pesawat pada 2014 itu, namun punca sebenar tidak boleh dirungkai selagi ia tidak ditemui.

Mengulas perkara sama, bekas menteri pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, perbuatan mengeluarkan kenyataan yang tidak berlandaskan fakta adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab.

Beliau yang juga memangku jawatan Menteri Pengangkutan ketika tragedi itu berlaku berkata, ketika siasatan berjalan, menjadi keutamaannya memastikan ketelusan dan keabsahan dalam menyampaikan perkembangan kepada orang awam.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, mesyuarat Kabinet pada Rabu tidak membincangkan dakwaan Abbott tersebut.

3. Tiga malam tahlil buat Ashraf Sinclair

Susulan pemergian pelakon Ashraf Sinclair di Indonesia pada Selasa, keluarga Allahyarham mengadakan majlis tahlil mulai Selasa malam hingga malam ini di kediamannya di Jakarta Selatan.

Allahyarham yang berkahwin dengan penyanyi tersohor Indonesia, Bunga Citra Lestari, pada November 2008, memilih untuk menetap di Jakarta selama ini.

Arwah bersama isterinya aktif melebarkan kerjaya seni sehingga disenarai sebagai antara artis yang disegani ramai.

4. KS Maniam meninggal dunia

Sasterawan Subramaniam Krishnan atau KS Maniam meninggal dunia akibat kanser pada Rabu. Beliau berusia 78 tahun.

Mendiang yang juga bekas pensyarah Universiti Malaya merupakan nama yang tidak asing dalam karya penulisan dan sastera.

Hasil kerjanya banyak diguna pakai di sekolah dan universiti tempatan.

5. 'Selamat datang ke Anfield! Ia belum berakhir'

Kekalahan tipis Liverpool kepada Atletico Madrid pada pusingan kedua kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara semalam menimbulkan persoalan kepada peminatnya sama ada suasana berbeza di Anfield akan memberi kelebihan kepada skuad pendahulu Liga Perdana Inggeris itu.