KUALA LUMPUR: Sebanyak 50 individu disyaki menjadi keldai dadah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari tahun lepas hingga April dengan rakyat tempatan mencatat jumlah tertinggi, iaitu 19 orang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata daripada jumlah itu, 25 individu ditahan tahun lepas termasuk lima warga Taiwan, masing-masing tiga dari Britain dan Maldives serta dua Indonesia.
Beliau berkata sehingga April tahun ini, 25 lagi ditahan membabitkan tujuh warga tempatan diikuti Britain (lima), Singapura (empat), Perancis (tiga), Indonesia (dua) serta masing-masing seorang dari Hong Kong, Thailand, Slovakia dan Ireland.
Hussein berkata sindiket dadah antarabangsa dikesan menggunakan taktik baharu dengan membuat tempahan penerbangan untuk keldai dadah pada saat akhir atau waktu puncak di KLIA bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Sindiket menggunakan pelbagai modus operandi seperti peluang pekerjaan palsu, pakej percutian percuma dan ganjaran kewangan lumayan yang menyasarkan individu berhadapan tekanan kewangan atau kurang kesedaran mengenai risiko jenayah itu.
“Mangsa diperdaya untuk membawa barangan tanpa mengetahui kandungan sebenar dengan terdapat kes dadah disorok secara kreatif dalam bagasi, pakaian, barangan peribadi dan melalui kaedah body packing,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Hussein berkata pemantauan JSJN mendapati lapangan terbang masih menjadi laluan utama sindiket menyeludup dadah menggunakan keldai dadah, khususnya membabitkan rangkaian antarabangsa manakala pelabuhan dan pintu masuk sempadan darat menggunakan modus operandi berbeza.
Dalam perkembangan berkaitan, Hussein berkata sebanyak 180 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana menjadi keldai dadah dari 2024 hingga April lepas, iaitu 84 orang pada 2024, 66 orang (2025) dan 30 orang setakat April 2026.
“Walaupun angka ini menunjukkan penurunan namun jumlah itu masih membimbangkan. Antara negara merekodkan tangkapan rakyat Malaysia ialah Thailand, Singapura, Indonesia, Hong Kong, Korea Selatan dan Taiwan.
“Kebanyakan mereka disyaki terperdaya dengan tawaran pekerjaan atau ganjaran mudah tanpa menyedari risiko serta implikasi undang-undang yang sangat berat di negara berkenaan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata JSJN bekerjasama rapat dengan agensi penguat kuasa luar negara melalui perkongsian risikan, operasi bersama-sama dan pertukaran maklumat bagi mengenal pasti serta melumpuhkan rangkaian sindiket.
Beliau berkata maklumat risikan hasil soal siasat terhadap individu ditahan di Malaysia akan disalurkan kepada agensi penguat kuasa negara terbabit bagi membantu mengenal pasti rangkaian sindiket manakala siasatan terhadap ahli sindiket di dalam negara juga diteruskan.
Sehubungan dengan itu, Hussein menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dengan tawaran atau ganjaran mencurigakan serta tidak membawa barangan milik orang lain tanpa mengetahui kandungannya, khususnya di lapangan terbang.
Beliau berkata penglibatan dalam aktiviti itu boleh membawa kepada hukuman sangat berat termasuk penjara seumur hidup atau hukuman mati di beberapa negara selain menyeru kerjasama masyarakat bagi membantu pihak berkuasa membanteras jenayah penyeludupan dadah.
-- BERNAMA