Skip to main content

Malaysia

'52 jahitan di kepala dan dahi' - Penyanyi rock Nash terlibat kemalangan

Nash menerima 52 jahitan susulan kecederaan akibat mengalami kemalangan ketika dalam perjalanan pulang dari surau pada Selasa. Beliau turut menerima kunjungan Ahmad Zahid di hospital. - Foto Sinar Plus
Nash menerima 52 jahitan susulan kecederaan akibat mengalami kemalangan ketika dalam perjalanan pulang dari surau pada Selasa. Beliau turut menerima kunjungan Ahmad Zahid di hospital. - Foto Sinar Plus

Advertisement

PENYANYI rock terkenal Datuk Nash terlibat dalam kemalangan pada Selasa hingga menerima 52 jahitan susulan kecederaan.

Pelantun lagu Zahir Tak Terucap itu difahamkan terbabit dalam kemalangan motosikal ketika dalam perjalanan pulang dari surau malam itu.

Akibat kemalangan itu, Nash menerima 24 jahitan di kepala dan 28 jahitan di bahagian dahi kiri.

Nash yang dirawat di sebuah pusat perubatan swasta bersyukur tidak mengalami kecederaan teruk mahupun dalaman.

"Saya ucapkan terima kasih kepada penduduk sekitar yang membantu saya malam itu.

"Alhamdulillah, saya hanya mengalami kecederaan luaran di bahagian kepala, manakala pemeriksaan dalaman mendapati tiada yang serius," katanya.

Mengimbas kembali kejadian pada Selasa malam, Nash berkata dia menunggang motosikal pulang ke rumah selepas menunaikan solat Isyak di surau berhampiran rumahnya.

"Selepas solat, saya mengikuti ceramah dan barulah pulang ke rumah. Keadaan cuaca pula hujan. Dalam perjalanan itulah kemalangan berlaku," katanya.

Bekas vokalis kumpulan rock Lefthanded itu terdahulu dikejarkan ke Hospital Shah Alam dan dipindahkan ke sebuah pusat perubatan swasta semalam.

Ketika ditemui Berita Harian, Nash dilihat turut mengalami luka di bahagian kepala, selain mengakui mata kirinya masih belum dapat dibuka.

"Minta maaf kerana saya tidak dapat buka mata buat masa ini," katanya.

Penyanyi veteran itu turut menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, ahli keluarga Nash yang berada di hospital meminta penyanyi itu diberi ruang untuk berehat dan kehadiran pelawat buat masa ini tidak dibenarkan. - Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement