Skip to main content
Advertisement

Malaysia

523 individu peroleh tawaran kerja menerusi MYFutureJobs di Festival Mega iLINDUNGu 

ILINDUNGU_ILINDUNGU
Festival Mega iLINDUNGu: KESUMA Bersama Rakyat selama tiga hari itu merekodkan kehadiran lebih 45,000 pengunjung, manakala seramai 2,654 majikan mendapatkan khidmat Bahagian Caruman dan Penguatkuasaan PERKESO.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Seramai 523 individu yang sedang mencari kerja memperoleh tawaran pekerjaan dan melepasi saringan temu duga menerusi Karnival LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs, dengan anggaran gaji sehingga RM5,000.

Karnival itu berlangsung sempena Festival Mega iLINDUNGu: KESUMA Bersama Rakyat di The Strand Mall, Kota Damansara, hujung minggu lalu.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berkata, pencapaian tersebut memperlihatkan peranan MYFutureJobs dalam memadankan pencari kerja dengan peluang yang bersesuaian berdasarkan kemahiran dan keperluan industri.

Image
LINDUNGU_ILINDUNGU
Orang ramai mengambil peluang untuk temu duga bersama syarikat penerbangan Batik Air di Festival Mega iLINDUNGu: KESUMA Bersama Rakyat.

“Ini adalah usaha berterusan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan dan KESUMA menerusi PERKESO untuk membantu mengurangkan kadar pengangguran.

“Kejayaan ini juga menunjukkan MYFutureJobs memainkan peranan penting dalam memperkukuh padanan pekerjaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Image
LINDUNGU_ILINDUNGU
Karnival LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs berlangsung sempena Festival Mega iLINDUNGu: KESUMA Bersama Rakyat.

Pada Sabtu lalu, Ramanan turut mengumumkan pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) yang akan berkuat kuasa mulai 1 Oktober ini.

Menerusi pindaan itu, pencarum Sistem Insurans Pekerjaan yang kehilangan pekerjaan, layak menerima Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) dan kembali bekerja lebih awal akan menerima Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) bersamaan 50 peratus daripada baki EMP.

Pindaan berkenaan turut memperuntukkan Elaun Bantuan Mobiliti sebanyak RM1,000 secara sekali bayar, selain meningkatkan Fi Latihan kepada maksimum RM7,000 dan elaun latihan kepada RM30 sehari.

Pada masa sama, Foodpanda, Grab Malaysia dan HALO Delivery mengumumkan tajaan melebihi RM1.5 juta bagi membiayai caruman PERKESO untuk pekerja gig.

Image
LINDUNGU_ILINDUNGU
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan bergambar bersama pemandu Foodpanda, Grab Malaysia dan HALO Delivery di festival itu.

Festival selama tiga hari itu merekodkan kehadiran lebih 45,000 pengunjung, manakala seramai 2,654 majikan mendapatkan khidmat Bahagian Caruman dan Penguatkuasaan PERKESO.

Bahagian berkenaan turut mengendalikan urusan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) bernilai RM1.02 juta melibatkan 748 majikan.

Daripada jumlah tersebut, diskaun FCLB pada kadar 80 peratus kepada majikan yang layak berjumlah RM818,238.

“Ukuran kejayaan kita bukan pada berapa ramai yang hadir, tetapi berapa ramai yang pulang dengan sesuatu yang lebih baik.

“Ada yang mendapat pekerjaan, ada yang mendapat perlindungan dan ada majikan yang mendapat penyelesaian,” katanya lagi.

Must Watch Video

Advertisement