MADINAH: Makluman daripada Lembaga Tabung Haji (TH) menyebut, daripada keseluruhan 31,600 jemaah haji Malaysia yang akan menunaikan haji pada tahun ini, jemaah wanita mewakili sebanyak 58 peratus manakala bakinya 42 peratus adalah jemaah haji lelaki.

Untuk musim haji tahun ini juga, dari segi pecahan umur pula, Tabung Haji menerusi saringan yang ketat menapis calon-calon dan memberi keutamaan kepada mereka yang berusia bawah 60 tahun.

Kata TH, daripada kuota 31,600 jemaah, mereka yang berusia 60 tahun ke atas menyumbang sebanyak 36 peratus, sementarra baki 64 peratus jemaah lain terdiri daripada kalangan jemaah bawah 60 tahun.

Kesemua 31,600 jemaah ini telah lulus saringan kesihatan dan melepasi syarat-syarat lain yang ditetapkan oleh TH di mana mereka semua akan berlepas secara berperingkat melalui penerbangan yang ditetapkan untuk mereka.

Sebelum in, Naib Konsul Haji Malaysia merangkap Pengarah Operasi Madinah, Ashrof Shamsuddin memberi jaminan pihaknya sudah bersedia sepenuhnya untuk menyantuni kesemua jemaah haji Malaysia yang akan tiba semasa musim haji nanti.

"Tahap persediaan TH dalam menerima kehadiran 31,600 jemaah haji kini mencapai skala 90 peratus lengkap. Ia meliputi kemudahan penginapan, perbankan, kaunter guru agama, perubatan dan perkhidmatan penghantaran barang serta bagasi ke tanah air," ujar beliau dalam satu sidang media di Madinah, kelmarin.

Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia bagi musim ini akan tiba di Madinah pada 9 Mei ini, manakala penerbangan terakhir adalah 9 Jun 2024.

Rombongan petugas pula sudah berada di Madinah dan Mekah selepas ketibaan mereka secara berperingkat bermula 30 April lepas diikuti rombongan kedua terbesar, berlepas dari Kuala Lumpur pada 2 Mei lepas.

Rombongan petugas ketiga dan keempat juga akan ke Madinah masing-masing pada 6 dan 9 Mei ini.

Sebahagian 60 orang daripada 150 petugas dalam rombongan kedua, sudah mula bergerak ke Mekah manakala bakinya, yang terdiri daripada 14 petugas media akan berada di Madinah sehingga 13 Mei ini sebelum ke Mekah.

Kumpulan petugas media akan berada di Madinah selama 11 hari sehingga 13 Mei 2024 sebelum memasuki Mekah.

Dua editor wanita Astro AWANI, Azlinariah Abdullah dan Azlinda Md Salim merupakan antara pengamal media yang akan membuat liputan haji tahun ini.

Mereka akan menumpukan kepada laporan yang menfokuskan wanita dengan slot Jejak Wanita Menuju Haramain.

Hari wukuf bagi musim haji tahun ini adalah pada 9 Zulhijah atau bersamaan 15 Jun 2024.

Sebanyak 100 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa jemaah haji negara melibatkan syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudi Airlines.


Memandangkan jumlah jemaah wanita lebih ramai daripada lelaki untuk musim haji tahun ini, berikut beberapa panduan yang boleh diambil manfaat secara bersama oleh jemaah muslimah musim haji 1445H/2024M:

* Pastikan kesihatan dalam tahap optimum.

* Elak stres dan jaga kesihatan mental.

* Pemakanan mesti dijaga terutama dalam pemilihan menu harian.

* Elak paksa diri terutama membabitkan pergerakan untuk melakukan ibadat sunat sama ada di Madinah atau Mekah.

* Tanya ustazah atau pembimbing ibadat haji jika ada kemusykilan tentang fiqh wanita.

* Jika hamil, dinasihatkan berbincang dengan TH untuk menangguhkan dahulu perjalanan menunaikan haji.

* Sentiasa dapatkan nasihat doktor untuk proses hentikan haid atau masalah sakit puan lain khususnya membabitkan ibadat.

* Dalam keadaan cuaca panas, sentiasa guna payung, topi dan losyen penghadang matahari untuk kesihatan kulit dan fizikal.

* Banyakkan minum air, sangat disarankan air Zam-Zam untuk elak dehidrasi disebabkan cuaca panas melampau.