MALAYSIA
620,000 pekerjaan dijangka terkesan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang

Kajian impak TalentCorp berkenaan Kecerdasan Buatan (AI), Pendigitalan dan Ekonomi Hijau menunjukkan 620,000 pekerjaan dijangka terkesan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang. - Gambar fail/REUTERS
ALOR GAJAH: Kajian impak TalentCorp berkenaan Kecerdasan Buatan (AI), Pendigitalan dan Ekonomi Hijau menunjukkan 620,000 pekerjaan dijangka terkesan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Ringkasan AI
- Kajian TalentCorp mendapati 620,000 pekerjaan dijangka terkesan dalam 3-5 tahun akibat AI, pendigitalan dan ekonomi hijau.
- Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kesuma, Sutekno Ahmad Belon, berkata sektor baharu seperti teknologi tinggi, logistik pintar dan ekonomi hijau berkembang pesat serta memerlukan kemahiran teknikal dan insaniah.
- Program YES! Rock The School dedahkan pelajar kepada peluang kerjaya masa depan dan telah memberi manfaat kepada lebih 13,000 pelajar serta 500 guru di seluruh negara.
"Kajian Senarai Pekerjaan Kritikal Malaysia (MyCOL) dan dapatan kajian impak MyMahir yang dilaksanakan oleh TalentCorp mengesahkan bahawa kemahiran ini akan kekal relevan merentasi semua industri," katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Program Young Employable Students (YES!) Rock The School di Dewan Canselori, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Durian Tunggal di sini hari ini.
Majlis yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Raud Yusoh itu turut dihadiri Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Ibrahim Durum, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM Prof Dr Zulkiflie Ibrahim dan Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional Kementerian Pendidikan Zulkernai Fauzi.
Sutekno berkata bagi memastikan bakat muda bersedia dengan cabaran industri, Kesuma memacu Reformasi Tenaga Kerja Negara melalui tiga agenda utama iaitu analisis pekerjaan masa hadapan, pembelajaran sepanjang hayat serta memperkukuh kerjasama antara kerajaan, industri dan sekolah.
Beliau berkata inisiatif YES! Rock The School ialah langkah awal mendedahkan pelajar tentang peluang kerjaya masa depan yang sejajar dengan keperluan industri.
Katanya setakat ini, program berkenaan telah memberi manfaat kepada lebih 13,000 pelajar sekolah dan lebih daripada 500 guru di seluruh negara.
"Hari ini, kita menghimpunkan 800 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah harian dan sekolah menengah teknik, merangkumi pelbagai bidang seperti STEM, kejuruteraan dan perdagangan, bersama hampir 200 tenaga pengajar dari universiti awam dan industri, yang berkongsi ilmu dan pengalaman berharga dengan para pelajar.
"Program ini membantu pelajar mengenal pasti kemahiran yang diperlukan industri melalui inisiatif MyMahir, mendapatkan panduan kerjaya berdasarkan data sebenar, serta membina keyakinan diri melalui interaksi terus dengan pakar industri," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami