JOHOR BAHRU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor menahan 638 individu atas pelbagai kesalahan dadah sejak 1 Jan lepas hingga semalam.

Pemangku Ketua JSJN Johor Supt R.Azizan Ibrahim berkata dalam tempoh sama pihaknya juga berjaya merampas pelbagai dadah dianggar seberat 93.17 kilogram dan menyita harta bernilai RM460,180 dengan keseluruhan rampasan bernilai RM375,527.45.

"Terbaharu, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 24 dan 44 tahun bersama dadah disyaki jenis syabu seberat 57.65 gram, ganja (8.65 gram) dan pil ekstasi (12 biji) dianggarkan berjumlah RM6,377.50 dalam operasi khas di sekitar bandar raya ini, kira-kira 7 malam, semalam.

"Semakan rekod mendapati seorang daripada mereka memiliki 42 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah manakala hasil saringan ujian air kencing menunjukkan kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dua lelaki berkenaan direman tujuh hari bermula hari ini hingga Khamis depan untuk dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA