MELAKA: Pas Melaka yakin momentum sokongan terhadap Muafakat Melaka yang menggabungkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan terus meningkat menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pesuruhjaya Pas Melaka, Zulkifli Ismail berkata, perkembangan itu dapat dilihat menerusi gerak kerja kempen serta penyelarasan antara jentera BN dan PN yang disifatkan berada pada tahap terbaik sepanjang minggu pertama berkempen.
Menurutnya, beberapa program berskala besar turut dirancang dalam tempoh berbaki bagi memperkukuh sokongan pengundi terhadap gabungan berkenaan.
“Alhamdulillah, sepanjang seminggu kita berkempen dan sudah mendekati tarikh untuk mengundi, saya melihat momentum dari sudut gerak kerja sangat baik dan penyelarasan antara Barisan Nasional dan Perikatan Nasional berada pada tahap terbaik.
“Saya yakin dalam tempoh beberapa hari ini, kita akan melihat gerak kerja yang dapat memastikan sokongan pengundi berada pada tahap tertinggi kepada Muafakat Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pertemuan bersama pimpinan Pas dan PN Pusat serta calon-calon PN bagi PRN Melaka di Pejabat Badan Perhubungan Pas Negeri Melaka, pada Isnin.
Dalam pada itu, mengulas kenyataan pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli yang mendakwa sejarah kerjasama Pas dan UMNO tidak mampu bertahan melebihi tiga beliau berpandangan, tahun tidak seharusnya menjadi ukuran terhadap kesungguhan kedua-dua parti dalam membentuk penyatuan politik.
Menurutnya, pihak yang terlibat dalam usaha menjayakan penyatuan itu komited untuk memastikan kerjasama berkenaan dapat dipertahankan, bukan sekadar untuk menghadapi pilihan raya.
“Jadi, itu pandangan daripada orang yang tidak suka kepada penyatuan ini. Kita yang berusaha untuk mewujudkan penyatuan ini akan pastikan ia bukan untuk tiga tahun, tetapi selama-lamanya, insya-Allah,” katanya.
Mengulas lanjut, Zulkifli menjelaskan, antara program yang digerakkan ialah Gelombang Biru yang diadakan serentak di kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka bagi memperlihatkan solidariti serta kekuatan jentera gabungan itu.
Selain itu, program munajat pada 12 November dan ceramah perdana Grand Finale turut dijadualkan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh momentum menjelang hari pengundian.
Beliau berharap penyertaan rakyat dan pengundi di seluruh negeri dalam program berkenaan dapat diterjemahkan kepada sokongan terhadap Muafakat Melaka pada hari mengundi nanti.