NIBONG TEBAL: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berjaya memadamkan 65 peratus daripada lebih 11 hektar kawasan kebakaran melibatkan tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Jalan Byram, di sini sehingga hari ini.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) ketika ini sektor 1, 2 dan 4 telah dipadamkan sepenuhnya namun masih dalam status pemantauan dan kerja-kerja penambakan tanah masih dijalankan bagi memastikan tiada kebakaran lagi.

"Bagi memudahkan kerja-kerja pemadaman, kawasan kebakaran di tapak pelupusan sampah itu telah dibahagikan kepada lima sektor dengan tiga sektor telah berjaya dipadamkan sepenuhnya.

"Manakala kerja-kerja pemadaman dan pengawalan masih dilakukan di sektor 3 dan 5 dengan menggunakan pelbagai kaedah dan alat pemadaman. Namun secara keseluruhan kebakaran adalah terkawal," menurut kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan usaha-usaha pemadaman turut dibantu pelbagai agensi persekutuan dan negeri antaranya Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Angkatan Pertahanan Awam, Pasukan Bomba Sukarela dan syarikat pengurusan tapak pelupusan sampah itu iaitu Syarikat PLB Terang.

Menurut kenyataan itu, fokus utama operasi tersebut selain daripada pemadaman kebakaran adalah menjaga keselamatan para petugas lapangan di lokasi.

Kenyataan itu turut memaklumkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang telah membuat pemantauan Indeks Kualiti Udara 24 jam sejak insiden kebakaran tersebut berlaku dan akan meneruskan pemantauan menggunakan dron untuk mengesan titik-titik panas di tapak pelupusan sampah berkenaan melalui imej termal yang diambil bagi membantu operasi pemadaman kebakaran.

"Pejabat Kesihatan Daerah SPS melaporkan sepanjang pemantauan kesihatan dalam kalangan populasi oleh fasiliti-fasiliti bawah Kementerian Kesihatan (KKM), tiada peningkatan mendadak untuk kes jangkitan mata dan saluran pernafasan atas (URTI), konjunktivitis dan asma. Semua kes ini direkodkan sebagai kes ringan dan tiada yang dimasukkan ke wad," menurut kenyataan itu.

Penduduk di sekitar Daerah SPS dinasihatkan supaya menjaga kesihatan masing-masing dan mengurangkan aktiviti luar serta sekiranya mengalami gejala seperti sesak nafas dan tidak sihat dinasihatkan untuk terus mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berhampiran.

Kebakaran tapak pelupusan sampah di Jalan Byram berlaku kira-kira 5 petang pada 12 Jan lepas dan penduduk berhampiran telah diminta berpindah ke pusat pemindahan sementara, manakala 10 sekolah berdekatan diarah tutup.

Pada 22 Jan, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata hasil siasatan semula oleh pihak bomba ke atas tapak pelupusan sampah itu mendapati keluasan kawasan tersebut ialah lebih 33 hektar dengan kira-kira 11 hektar yang terbakar dan kerja-kerja pemadaman api giat dijalankan menggunakan kaedah air serta tambakan tanah.

-- BERNAMA