GEDONG: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong, Tan Sri Abang Johari Tun Openg diumumkan menang tanpa bertanding di kerusi tersebut.
Perkara itu disahkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Jamain Wahab menerusi pengumumannya selepas selesai proses penamaan calon di dun tersebut.
“Sebagai pegawai pengurus, saya bagi pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, SPR, memaklumkan bahawa di antara pukul 9 pagi dan 10 pagi, SPR hanya menerima satu sahaja kertas penamaan calon, penamaan bagi bahagian pilihan raya negeri (N26) Gedong.
“Beliau, Abang Abdul Rahman Johari bin Abang Openg, telah mengemukakan kertas penamaannya pada masa seperti yang berikut: pada jam 9.03 pagi daripada parti GPS.
“Saya telah menyemak kertas penamaan calon tersebut dan setelah selesai disemak, saya berpuas hati untuk menerima kertas penamaannya.
“Dengan ini, saya mengumumkan bahawa Abang Abdul Rahman Johari bin Abang Openg dari parti Gabungan Parti Sarawak disahkan telah menang tanpa bertanding dan dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi bahagian pilihan raya negeri (N26) Gedong,” katanya.
Pada PRN12, Abang Johari mencatat kemenangan sulungnya di kerusi DUN Gedong selepas meraih 4,310 undi dalam saingan empat penjuru, sekali gus menewaskan tiga calon lain.
Beliau sebelum itu merupakan penyandang kerusi DUN Satok selama lapan penggal sebelum beralih ke Gedong, menggantikan Datuk Mohd Naroden Majais yang sebelum ini mewakili kawasan berkenaan.
Beliau yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memperoleh majoriti selesa dengan 3,607 undi selepas menewaskan Mohamad Sofian Fariz Sharbini daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang memperoleh 703 undi.
Manakala Tomson Ango (Parti Bumi Kenyalang) dengan 157 undi dan Kamal Bujang (Amanah) 94 undi.