PUTRAJAYA: Seramai 652 penjawat awam dianugerahkan ganjaran terkumpul berjumlah RM1.18 juta sejak 2012 sebagai pengiktirafan tertinggi atas keberanian mereka melaporkan pemberian atau penerimaan rasuah.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan jumlah penerima tertinggi sepanjang tempoh 2012 hingga 2025 iaitu seramai 437 orang.
Menurutnya, ia diikuti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) seramai 64 orang, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (33 orang) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (21 orang).
“Bagi penilaian tahun 2026, seramai 54 calon baharu daripada empat agensi penguatkuasaan dikemukakan membabitkan 30 kertas siasatan dengan jumlah nilai rasuah yang cuba disogokkan mencecah RM304,621.
“Calon-calon terbabit merangkumi 38 pegawai PDRM, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (12 calon), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (tiga calon) dan JIM (seorang calon).
"Semua calon telah melepasi tapisan keutuhan SPRM dan semakan rekod jenayah PDRM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Panel Penilaian Pengiktirafan Kepada Penjawat Awam Yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah Siri 15 di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Selasa.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II Jabatan Peguam Negara, Datuk Kamal Baharin Omar dan Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Hafaz Nazar.
Abd Halim berkata, antara kes berprofil tinggi yang mendapat perhatian dalam penilaian tahun ini termasuk tindakan seorang pegawai PDRM di Perlis yang menolak tawaran suapan RM200,000 berkaitan kes rampasan dadah syabu seberat 1.8 tan.
Katanya, turut diberi perhatian ialah kes penolakan rasuah bernilai RM45,000 di Johor.
Menurut beliau, pemberian ganjaran dan pengiktirafan berkenaan menjadi pemangkin dalam memperkukuh budaya kerja berintegriti dalam sektor perkhidmatan awam.
"Pengiktirafan ini bukan sahaja melambangkan penghargaan terhadap integriti penjawat awam, tetapi juga menjadi satu dorongan dan contoh kepada penjawat awam yang lain," katanya.
Abd Halim berkata, penjawat awam perlu memenuhi kriteria ketat untuk layak menerima pengiktirafan, termasuk membuat aduan rasmi dan memberikan kerjasama penuh sepanjang proses penyiasatan hingga perbicaraan di mahkamah selesai.
“Kita juga berhasrat supaya skop pemberian ganjaran ini diperluas ke seluruh sektor perkhidmatan awam, terutamanya pegawai di bahagian perolehan.
“Keberanian penjawat awam untuk tampil melaporkan cubaan rasuah amat penting dalam membantu usaha membendung kegiatan rasuah dan memperkukuh budaya integriti dalam perkhidmatan awam,” katanya.
Program pengiktirafan berkenaan adalah kesinambungan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK) pada 19 Ogos 2010 dan Surat Pekeliling Garis Panduan oleh Ketua Setiausaha Negara pada 11 Mei 2011. - Sinar Harian