BESUT: Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) merekodkan 74 buah sekolah terjejas akibat banjir besar di Terengganu.

Pengarahnya Abdul Muie Ngah berkata, jumlah itu melibatkan sekolah rendah dan sekolah menengah di lapan daerah.

Menurut Abdul Muin, kesemua sekolah terbabit kini dalam proses pembersihan yang dilakukan bersama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat.

Jelasnya banjir tersebut turut merosakkan pelbagai kemudahan sekolah antaranya kerusi, meja dan buku teks.

Katanya buat sementara waktu pihaknya akan menghantar lebihan kerusi dan meja dari sekolah-sekolah lain kepada sekolah yang memerlukan.

Dalam pada itu, sebanyak 143 sekolah dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa terjejas banjir di Terengganu.