JOHOR BAHRU: Seramai 78 individu ditahan termasuk tiga pembekal dadah ditahan dalam operasi khas di tiga serbuan di pusat hiburan sekitar Kluang dan Batu Pahat, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam serbuan jam 1 hingga 3 pagi itu turut memeriksa 246 individu.

Katanya 78 individu yang ditahan atas pelbagai kesalahan terdiri daripada 55 lelaki tempatan, 15 wanita warga tempatan, tiga lelaki warga asing dan lima wanita warga asing berumur 16 hingga 68 tahun.

"Dalam serbuan itu, polis juga berjaya menahan tiga pembekal dadah ke pusat-pusat hiburan termasuk seorang lelaki warga asing berumur 32 tahun yang dikenali dengan panggilan 'doktor'.

"Susulan tangkapan itu, pihak polis berjaga menahan tiga lagi lelaki tempatan berumur 17 hingga 33 tahun bersama sejumlah dadah.

"Hasil saringan urin mendapati 68 individu positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC), Methamphetamine dan Ketamin," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Kamarul Zaman, dalam serbuan ini juga pihak polis berjaya membuat rampasan pelbagai jenis dadah dengan anggaran berat lebih kurang 3.43 kilogram (kg) serbuk ecstacy bernilai RM171,801.

Katanya turut dirampas 417.08 gram ketamin bernilai RM62,562, pil ecstacy sebanyak 1,368 biji dan 300 biji erimin 5 dengan jumlah keseluruhan rampasan dadah RM261,797.

"Polis turut sebuah kereta dan wang tunai bernilai RM31,218.

"Dua daripada pusat hiburan terbabit gagal mengemukakan lesen perniagaan dan hiburan yang sah. Manakala sebuah pusat hiburan lagi didapati beroperasi lebih masa daripada yang dibenarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 15,206 penagih sekiranya terlepas,"katanya.

Kesemua suspek direman enam hari sehingga 26 Januari depan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah 1952, Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15 (1) (a) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6 (2) serta Seksyen 11 (2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Johor 4/98.