PETALING JAYA: Capaian rangkaian 5G meliputi 80 peratus kawasan berpenduduk dan tawaran harga berpatutan kepada rakyat, merupakan dua matlamat utama kerajaan sebelum berakhir 2023.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menjelaskan pertemuan bersama pihak Digital Nasional Berhad (DNB) dan syarikat-syarikat telekomunikasi turut diadakan untuk mencapai kata sepakat bagi memenuhi sasaran tersebut.

"Selepas Perdana Menteri umum pada Jumaat, matlamat yang ingin dicapai ialah capaian menyeluruh untuk rangkaian 5G serta harga yang berpatutuan untuk rakyat. Ini menjadi garis panduan kepada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) yang menjadi kementerian yang mengawal selia aktiviti DNB.

"Saya telah minta satu pertemuan segera diadakan antara DNB, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) bersama semua syarikat telekomukasi. (Termasuk) Celcom-Digi, Maxis, YTL, U Mobile, Telekom Malaysia, semua hadir dalam perjumpaan itu," katanya dalam sidang media selepas merasmikan program Pemantapan Penerangan KEADILAN Negeri Selangor, pada Ahad.

Pelaksanaan 5G | 80 peratus kawasan liputan dan harga berpatutan

"Pihak kerajaan akan umumkan hala tuju pelaksanaan 5G sebelum hujung Mac. Saya yakin itulah mesej Perdana Menteri agar semua pihak duduk bersama untuk meneliti, menilai, merangka hala tuju bersama.

"Pokoknya, DNB diurus secara telus, keterlibatan itu secara terangkum bersama semua syarikat telekomunikasi," tambahnya.

Dalam program yang sama, Fahmi turut mndedahkan insiatif-inisiatif kerajaan bagi mengurangkan harga langganan internet dalam negara.

Antara lain, ialah tawaran Pakej Perpaduan dengan harga separuh lebih rendah dan tiga kali lebih laju bermula 28 Februari 2023.

BACA: Pakej Internet Perpaduan: Syarikat telekomunikasi boleh tawar harga lebih murah

Manakala bagi penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR), mereka akan menikmati penurunan harga langganan internet jalur lebar tetap Unifi daripada RM89 kepada RM69 menjelang Mac 2023.

Selain itu, Fahmi turut memaklumkan bermula 1 Mac, MCMC akan menguatkuasakan Mandatory Standard Access Pricing (MSAP) yang akan menurunkan harga langganan jalur lebar secara keseluruhan.

"Bermula 1 Mac kemungkinan dalam masa tidak lama daripada sekarang, jalur lebar semua perkhidmatan lain juga akan berkurangan. Ini antara ikhtiar saya untuk kurangkan harga, pastikan lagi laju," katanya lagi.