Skip to main content

Malaysia

83 mangsa banjir di Kemaman Terengganu dipindahkan

71480422279_BanjirTerengganu.jpg
83 mangsa daripada 16  keluarga di Kemasik, Kemaman menjadi kumpulan pertama dipindahkan selepas kediaman mereka dilanda banjir kira kira jam empat petang tadi.

72  mangsa  daripada  14 keluarga di tempatkan SMK Badrul Alam Shah, Kemasik , Kemaman.

Mangsa membabitkan 22 lelaki dewasa, 32 wanita dewasa, sembilan kanak kanak  lelaki, tujuh kanak kanak perempuan dan dua orang bayi.

Manakala  11 mangsa daripada dua keluarga dipindahkan ke SK Teluk Kalong, Kemaman membabitkan tiga lelaki dewasa, empat wanita dewasa, tiga kanak-kanak  lelaki dan seorang kanak-kanak  perempuan.

Hujan lebat berterusan sejak semalam mengakibatkan  berlaku peningkatan paras air dan limpahan di beberapa batang sungai utama termasuk Sungai Kemaman di Jambatan Kampung Sungai Pinang.

Keadaan itu juga menyebabkan beberapa penempatan penduduk di kawasan rendah dinaiki air sedalam 0.25 meter hingga 0.5 meter dan berarus deras..

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kemaman, Rosman Roslan berkata, semua agensi terbabit kini sudah digerakkan untuk melaksanakan tugas masing-masing.

Rosman yang juga Pegawai Daerah Kemaman berkata, persiapan berkenaan termasuk menyalurkan bantuan makanan dan keperluan di semua pusat perpindahan banjir termasuk pengkalan hadapan.

Menurut Roslan, pihaknya bersama beberapa agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Majlis Perbandaran Kemaman, menjalankan  pemantauan serta bersiap sedia membantu operasi pemindahan mangsa jika keadaan semakin buruk . 

Rosman berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran serta agensi terbabit juga sentiasa memantau paras air sungai dan juga bersedia menghadapi kemungkinan berlakunya air laut pasang awal malam ini.

Sehubungan itu, penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan yang berisiko berlaku banjir disaran membuat persediaan awal dan berpindah segera apabila diarah berbuat demikian.

Dalam pada itu, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang tadi memaklumkan kerajaan negeri sentiasa memantau dan mengambil langkah berjaga-jaga pada musim tengkujuh yang baru sahaja bermula.

Menurut Ahmad Razif, setakat ini, kebanyakan aras sungai-sungai utama negeri itu masih dalam keadaan normal namun akan terus dipantau perkembanganya dari semasa ke semasa.

Pihak berkuatkuasa dan agensi kerajaan sudah diarahkan bersiap siaga untuk menghulurkan bantuan dalam kadar segera .

Penduduk juga diminta supaya sentiasa memberi kerjasama serta mematuhi arahan pihak berkuasa khususnya sekiranya diminta untuk berpindah.

Advertisement

Must Watch Video