KUALA LUMPUR: Enam sampel kes positif COVID-19 yang diambil daripada saringan di Parlimen pada minggu lalu berkemungkinan besar adalah varian Delta.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, varian itu dikesan menggunakan ujian PCR Genotyping Assay.

"Bagi mengesahkan jenis varian ini, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sedang menjalankan jujukan genom penuh (whole genomic sequencing) dan masih menunggu keputusan akhir," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya lagi, secara keseluruhan sebanyak 85 kes positif COVID-19 yang disahkan dengan ujian RT-PCR telah dilaporkan membabitkan Parlimen sehingga kini. 

"Sebanyak 56 kes telah dikenal pasti hasil saringan Pra-Dewan Rakyat dan empat  kes kontak rapat, 17 kes dikesan berkaitan semasa persidangan Dewan Rakyat, sembilan kes telah dilaporkan sebelum ini dan lima kes baharu dilaporkan antara 30 Julai sehingga 5 Ogos 2021 serta tiga kes kontak rapat dan lapan kes saringan Pra-Dewan Negara," jelas beliau.

Daripada lapan kes baharu yang dilaporkan antara 30 Julai sehingga 5 Ogos 2021, lima kes mempunyai nilai kitaran ambang (CT value) RT PCR di antara 18.00 sehingga 27.68, dan tiga kes dengan CT value di antara 35.14 sehingga 37.59.

"Empat kes mempunyai gejala ringan manakala yang lain tidak bergejala.

"Tujuh kes positif itu juga telah mendapat vaksin COVID-19 (sekurang-kurangnya mendapat satu dos), dan satu kes adalah kanak-kanak berusia tujuh tahun (kontak rapat kes) yang belum layak mendapat vaksin," tambahnya.

Hasil siasatan KKM setakat ini mendapati bahawa besar kemungkinan perkongsian kemudahan asas seperti tandas dan surau oleh ramai individu telah memberi risiko kepada penularan jangkitan COVID-19 di Parlimen.

"KKM akan terus memantau status kesihatan semua kes positif COVID-19 ini, kontak rapat dan kes baharu yang lain kerana kemungkinan akan dilaporkan kerana masih dalam tempoh inkubasi.

"Justeru, adalah dinasihatkan supaya individu yang telah hadir ke Parlimen untuk terus memantau kesihatan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera. Sekiranya bergejala jalani ujian saringan COVID-19 dan dapatkan rawatan segera," ujarnya.