Seramai 87 individu dikuarantin di Hospital Hulu Terengganu selepas disyaki dijangkiti wabak COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak berkata kesemua suspek berkenaan terdiri daripada penghuni sebuah madrasah di Kuala Terengganu.

Menurut Alias, kesemua pesakit ini berada dibawah pengawasan (PUI) di Hospital Hulu Terengganu bermula Sabtu.

“Tugasan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu adalah membuat siasatan kepada kontak khususnya yang berkaitan dengan peserta himpunan di Masjid Sri Petaling yang dihadiri juga rakyat negeri Terengganu.

“(Perhimpunan) tabligh dan salah satu yang kita suspek telah berlaku sebaran di markas tabligh Kubang Bujuk di Masjid Tahfiz di situ dan kita telah isolated, kuarantin.

“87 orang suspek di tempat tersebut di Hospital Daerah Hulu Terengganu yang kita kuarantin. Kes positif belum dapat pengesahan sebenar, hasil yang dibuat siasatan tadi dibuat tapisan,” katanya dalam satu sidang media di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu pada Isnin.

Menurut Alias, kesemua mereka yang dikuarantin itu berada dalam keadaan stabil.

Jelasnya Jabatan Kesihatan juga sedang berjalan menjejaki individu yang berisiko dijangkiti wabak berkenaan.

Pada Ahad Astro AWANI melaporkan sebuah madrasah di Kuala Terengganu ditutup selama empat belas hari bagi mengekang penyebaran virus COVID-19.

Difahamkan penutupan madrasah itu dibuat berikutan terdapat ahli tabligh yang singgah di madrasah berkenaan disyaki positif COVID-19 pada pemeriksaan peringkat awal.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan kerajaan negeri Terengganu menyediakan empat pusat kuarantin bagi menempatkan suspek yang disyaki dijangkiti virus COVID-19 .

Dua pusat berkenaan melibatkan hospital di Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu.

Menurut Alias, setakat ini hanya Hospital Hulu Terengganu telah diaktifkan dengan menempatkan 87 orang yang disyaki dijangkiti wabak membawa maut.