BALING: Polis Baling menumpaskan kegiatan geng 'Tok Dan' yang aktif mencuri dan pecah rumah di sekitar daerah daerah ini menerusi operasi khas 'Ops Pintu' sejak 14 sehingga 17 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, kumpulan yang dianggotai sembilan lelaki tempatan berusia antara 19 sehingga 35 tahun itu diberkas dalam beberapa siri serbuan di beberapa lokasi.

"Dalam tangkapan itu, polis turut merampas beberapa barangan yang digunakan untuk melakukan jenayah antaranya tiga kenderaan dan sebuah motosikal digunakan untuk melakukan aktiviti jenayah.

"Dua kereta jenis Perodua Viva, sebuah kereta Proton Waja dan motosikal jenis Modenas Kriss.

"Selain itu, beberapa barangan lain termasuk jam berjenama, telefon bimbit di curi di bangunan kedai," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Baling, hari ini.

Beliau berkata, dengan tertangkapnya kumpulan 'Tok Dan' polis berjaya menyelesaikan 10 kes melibatkan pecah rumah.

Menurut Shamsudin, hasil semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan pecah rumah dan bangunan kedai sekitar Kupang dan Baling.

Katanya, hasil ujian air kencing juga mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methapethamine.

Kesemua suspek direman sehingga 22 Januari untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 411, Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Suspek-suspek juga disiasat mengikut Seksyen 414, Kanun Keseksaan kerana menyembunyi harta curi dan Seksyen 457, Kanun Keseksaan kerana kesalahan menceroboh rumah untuk mencuri.