KUALA LUMPUR : Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat pertambahan sembilan lagi kes positif serta satu kematian akibat COVID-19 yang dikesan membabitkan Sidang Mesyuarat Khas Parlimen hujung Julai lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan keseluruhan 97 kes yang dikesan membabitkan Parlimen.

Menurutnya lagi, empat kes adalah kontak rapat kepada kes positif COVID-19 hasil saringan semasa Pra-Dewan Rakyat, yang baru dilaporkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah.

"Satu kes baharu dilaporkan pada 10 Ogos 2021 di mana kes ini juga merupakan kes kematian pertama yang baharu dikesan positif COVID-19 dengan ujian RT PCR pada 31 Julai 2021. Kes ini telah hadir semasa persidangan Dewan Rakyat.

"Empat lagi kes kontak rapat kepada kes positif COVID-19 yang telah hadir semasa persidangan Dewan Rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

BACA: Parlimen: Lima sampel disahkan varian Delta - Dr Noor Hisham

BACA: Parlimen: Pegawai tugas khas timbalan menteri MOTAC meninggal dunia akibat COVID-19

Mengulas lanjut, kes kematian tersebut melibatkan pegawai tinggi kerajaan yang mempunyai sejarah hadir ke Parlimen pada 26 hingga 29 Julai 2021.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham pada Selasa turut mengesahkan lima sampel kes COVID-19 hasil saringan yang dilakukan baru-baru ini juga melibatkan varian Delta. 

Tambahnya, faktor perkongsian bilik dan beberapa kemudahan fasiliti di Parlimen telah mengundang risiko penularan COVID-19.