KUALA LUMPUR: Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Jaimin Samitah dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat COVID-19 pada Isnin.

Perkara itu dimaklumkan oleh sumber Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam satu kenyataan tidak rasmi sebentar tadi ketika diminta mengulas mengenai perkara itu.

Menurut kenyataan tidak rasmi itu, Jaimin yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Ranau, Sabah telah hadir ke Kompleks Parlimen sepanjang Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada 26 hingga 29 Julai lalu.

"Semua ujian swab yang dibuat beliau iaitu saringan awal yang dibuat untuk hadir ke Parlimen dan saringan pada Khamis 29 Julai 2021 di Parlimen menunjukkan negatif," demikian katanya kepada Astro AWANI, hari ini.

Jelas sumber tersebut lagi, siasatan lanjut sedang dijalankan dan tindakan susulan akan diambil oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Terbaharu, MOTAC dalam kemas kini di laman Facebook rasmi kementerian itu mengesahkan mengenai kematian Jaimin.

Kementerian itu turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Allajyarham.

 
Sumber Facebook MyMOTAC

BACA: COVID-19: 56 kes positif dikesan di Parlimen setakat semalam - KP Kesihatan

Sebelum ini, KKM memaklumkan sekurang-kurangnya 56 kes positif COVID-19 dikesan setakat 28 Julai hasil ujian saringan COVID-19 yang dijalankan antara 21 hingga 25 Julai lalu bagi sesi Mesyuarat Khas Parlimen.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, dua kes melibatkan Ahli Parlimen, pegawai pengiring (enam), manakala 48 kes lagi melibatkan pegawai dari pelbagai agensi kerajaan.

Sebelum ini, KKM turut mencadangkan semua sesi mesyuarat termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas Parlimen pada 26 Julai sehingga 29 Julai ditangguhkan untuk tempoh dua minggu bermula dari 29 Julai.

Saranan tersebut dibuat setelah mengambil kira hasil penilaian risiko semasa dan bagi mencegah penularan jangkitan COVID-19 daripada berlaku di Parlimen.