ALOR SETAR: Sembilan suspek yang mempunyai kaitan dengan kes seorang remaja perempuan ditemukan mati dalam kawasan kebun getah di Pokok Pauh Dalam, Mukim Lesong, Pokok Sena pada 11 Mei lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Setar pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, suspek utama kes berkenaan akan dituduh di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan iaitu membuang atau menyembunyikan mayat mangsa dengan niat untuk mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

Jika disabit kesalahan, katanya, tertuduh boleh dipenjarakan sehingga tujuh tahun dan denda.

“Sementara itu, terdapat tiga suspek yang akan dituduh di bawah peraturan 25(1)(n) ppn 1990 iaitu gagal mengemukakan kad pengenalan diri semasa ditangkap. Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun, denda tidak melebihi 20 ribu atau kedua-duanya.

“Kesemua suspek juga akan dituduh mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (P.U (A) 225/2021) kerana melakukan aktiviti terlarang iaitu berkumpul ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, seorang suspek iaitu seorang perempuan warganegara Kemboja akan dituduh di bawah peraturan 15(1)(c) immg 1959/63 kerana kesalahan tinggal melebihi masa di Malaysia.

Jika sabit kesalahan, katanya, tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Media sebelum ini melaporkan enam lelaki dan tiga perempuan berumur antara 13 hingga 33 tahun ditahan susulan penemuan mayat remaja tersebut.

Artikel asal disiarkan di Sinar Harian. 9 suspek bunuh remaja akan didakwa