KUALA LUMPUR: Sebanyak 902 klinik kesihatan di seluruh negara akan diperkasakan dengan saringan penyakit paru-paru berbantukan kecerdasan buatan (AI) menjelang akhir tahun ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata ia merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Inisiatif Kesihatan Paru-Paru 2025-2030 bagi memperkukuh usaha pencegahan, pengesanan awal dan pengurusan penyakit pernafasan di negara ini.
“Menjelang akhir tahun ini, 902 klinik kesihatan di seluruh negara akan diperkasakan dengan saringan berbantukan AI, disokong oleh pangkalan data NALURY,” katanya menerusi hantaran di Instagram hari ini.
Dzulkefly berkata usaha berkenaan turut disokong pelaksanaan tegas Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), khusus bagi melindungi generasi muda daripada risiko berkaitan penggunaan produk merokok.
Beliau berkata langkah memperkukuh kesihatan paru-paru penting memandangkan penyakit pernafasan kini menyumbang kepada satu daripada lima kematian di peringkat global.
“Menyedari realiti ini, Malaysia terus mengambil peranan proaktif dengan memperjuangkan resolusi kesihatan paru-paru bersepadu pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) ke-78, serta mengangkatnya sebagai agenda utama serantau sewaktu Mesyuarat Menteri Kesihatan ASEAN ke-17 (AHMM) baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata segala usaha dan inovasi dalam bidang berkenaan perlu disokong data serta pembuktian saintifik yang kukuh bagi memastikan dasar dan intervensi kesihatan yang dilaksanakan benar-benar berkesan.
Sehubungan itu, Dr Dzulkefly memuji sumbangan sedekad NIHR Global Health Research Unit on Respiratory Health (RESPIRE) dalam memacu penyelidikan kesihatan awam.
Beliau turut menyeru komuniti penyelidik supaya terus bekerjasama rapat dengan penggubal dasar bagi memastikan penemuan saintifik dapat diterjemahkan kepada amalan klinikal dan intervensi kesihatan awam yang berkesan.
Dzulkefly turut merakamkan penghargaan kepada Universiti Malaya, University of Edinburgh, United Kingdom dan seluruh warga RESPIRE atas dedikasi berterusan dalam mendepani cabaran kesihatan pernafasan global.
“Malaysia kekal komited terhadap dasar kesihatan yang berpandangan jauh, dipacu bukti dan berpaksikan penyelesaian,” katanya.
Terdahulu, beliau merasmikan Mesyuarat Saintifik Tahunan 2026 RESPIRE yang menghimpunkan lebih 100 delegasi antarabangsa di ibu negara.
-- BERNAMA